Siakap Keli
Gambar: Rapid Rail Sdn. Bhd.

MRT Tutup Tiga Stesen Laluan Sg. Buloh – Kajang Pada Enam Hujung Minggu

Tiga stesen MRT Laluan Kajang, iaitu Stesen MRT Sungai Buloh, Stesen MRT Kampung Selamat dan Stesen MRT Kwasa Damansara akan ditutup pada enam hujung minggu (Sabtu dan Ahad) sepanjang Julai, Ogos dan September.

Rapid Rail Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan bersama MRT Corp. berkata, penutupan tersebut bertujuan untuk kerja-kerja migrasi yang berkaitan dengan kerja pemindahan sebahagian daripada laluan tersebut ke MRT Laluan Putrajaya.

“Penutupan stesen-stesen tersebut akan berlaku pada tarikh 11-12 Julai, 25-26 Julai, 8-9 Ogos, 22-23 Ogos, 5-6 September dan 19-20 September.

“Bagaimanapun, Stesen KTM Sungai Buloh dan kemudahan tempat letak kereta bersebelahan stesen tersebut tidak terjejas oleh penutupan ini,” jelas kenyataan tersebut, hari ini.

Gambar: Rapid Rail Sdn. Bhd.

Difahamkan, dengan penutupan tiga stesen tersebut, tren MRT dari Kajang akan berakhir di Stesen MRT Kwasa Sentral.

“Sama seperti penutupan sebelum ini yang dijalankan pada 2018 dan 2019, perkhidmatan gantian bas perantara percuma akan beroperasi di antara Stesen MRT Kwasa Sentral dan Stesen MRT Sungai Buloh, turut disediakan di Stesen MRT Kampung Selamat.

“Bas perantara ini tidak akan berhenti di Stesen MRT Kwasa Damansara kerana tiada aktiviti komersial dan kawasan perumahan yang berdekatan dengan stesen tersebut dan tempat letak kereta akan ditutup.

“Para pengguna yang biasanya meletakkan kereta di kemudahan tempat letak kereta di Stesen MRT Kwasa Damansara dinasihatkan supaya menggunakan kemudahan tempat letak kereta di Stesen MRT Kwasa Sentral atau di Stesen MRT Sungai Buloh,” jelas kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, perkhidmatan bas perantara sedia ada dari Stesen MRT Sungai Buloh dan Stesen MRT Kampung Selamat akan kekal beroperasi seperti biasa.

“Pihak Rapid Rail and MRT Corp ingin meminta maaf atas kesulitan yang dialami oleh pengguna tren dan berharap kerja-kerja yang dilakukan ini adalah untuk menambah baik dan mengembangkan jaringan pengangkutan awam berasaskan rel di Lembah Kelang,” katanya.

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai penutupan stesen-stesem tersebut, pengguna tren boleh menghubungi RapidKL di talian 03-7885 2585 ataupun talian Hotline Projek MRT di 1-800-82-6868.

Sumber: Rapid Rail Sdn. Bhd.

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.