Siakap Keli
Foto: Nytimes

Ratusan Penunjuk Perasaan Bantah Langkah Pencegahan Covid-19 Di Serbia

BELGRADE, 9 Julai – Ribuan penunjuk perasaan mengadakan bantahan di ibu kota Serbia pada Rabu selepas kerajaan memutuskan mengenakan langkah-langkah pencegahan baharu untuk membendung peningkatan kes COVID-19,  lapor Agensi Berita Anadolu.

Tunjuk perasaan, yang bermula Selasa petang di Belgrade itu merebak ke bandar besar lain termasuk Nis, Kragujevac dan Novi Sad.

Sebilangan besar penunjuk perasaan berkumpul di hadapan bangunan parlimen di Belgrade dan bertempur dengan polis ketika cuba memasuki bangunan itu, menyebabkan lalu lintas terpaksa dihentikan.

Demonstrasi meletus selepas Presiden Aleksandar Vucic pada Selasa mengumumkan perintah berkurung hujung minggu akan dikuat kuasa semula.

Terdahulu, pada Rabu Vucic menegaskan beliau tidak akan membiarkan mana-mana pihak atau individu menghancurkan keamanan dan kestabilan di Serbia.

Tambah beliau, perintah berkurung yang diumumkannya mungkin tidak akan diteruskan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Nebojsa Stefanovic berkata rusuhan di Belgrade dan bandar-bandar lain di Serbia menunjukkan hasrat untuk mengambil alih kuasa secara paksa.

Beliau berkata penunjuk perasaan turut menyerang anggota polis dengan menggunakan pelbagai objek menyebabkan 10 anggota dan seorang pegawai turut cedera.

Bagaimanapun, polis berjaya mengawal keadaan, katanya.

Serbia merekodkan 17,076 kes COVID-19 dan 341 kematian sementara kes sembuh berjumlah 13,562, menurut data Johns Hopkins University.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang