Siakap Keli
Foto: Facebook

Anggota Tentera Maut Dalam Kemalangan Di Jasin

JASIN, 13 Julai – Seorang anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Selandar-Batang Melaka di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Mispani Hamdan berkata kejadian pada 12.05 tengah malam itu dipercayai berlaku apabila kenderaan Proton Saga FLX yang dipandu mangsa, Mohamad Hisham Ismail, 30, dari Selandar menghala Batang Melaka hilang kawalan lalu melanggar Proton Waja dari arah bertentangan.

Katanya, perlanggaran itu menyebabkan Mohamad Hisham yang beralamat di Port Dickson, Negeri Sembilan, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala lelaki berusia 57 tahun yang memandu Proton Waja cedera parah pada bahagian badan.

“Proton Saga FLX yang dipandu Mohamad Hisham dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan dalam keadaan melintang, pemandu Proton Waja pula gagal mengelak dan menekan brek lalu bertembung dengan mangsa.

“Mayat Mohamad Hisham telah dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang