Siakap Keli
Gambar: @drasmilee melalui Dr. Mohd. Khairul Izwan

Karang Gigi, Ini Yang Terjadi Kalau Tahi Gigi Tak Dicuci Dengan Betul & Undang Masalah Gusi

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Gigi adalah satu ‘aset’ bagi setiap manusia, khususnya ketika situasi berkomunikasi antara individu.

Tidak dinafikan, ketika seseorang itu sedang bercakap, pandangan orang yang mendengar itu pasti akan tertumpu ke arah giginya sekali-sekala.

Bayangkan pada waktu jika giginya tidak cantik, kuning, berbau busuk dan berkarang, apakah respon si pendengar tersebut? Pasti tidak selesa, bukan?

Isu penyakit gigi berkarang ini bukanlah perkara baharu.

Malah untuk pengetahuan anda, karang gigi yang mencacatkan pemandangan dalam mulut serta berbau ini sebenarnya berpunca daripada kekotoran yang ditinggalkan.

Mari ikuti perkongsian oleh seorang doktor gigi, Dr. Mohd Khairul Izwan di bawah ini.

Gambar: @drasmilee melalui Dr. Mohd. Khairul Izwan

Tahukah anda karang gigi berasal daripada plak atau tahi gigi yang berada di celah-celah gigi dan tidak dibersihkan dengan betul?

Apabila bercampur dengan air liur, lama-kelamaan plak yang tidak dibersihkan ini akan mulai mengeras.

Kerana sifatnya yang keras, karang gigi ini tidak lagi mampu dibersihkan oleh berus gigi, dan hanya boleh dibuang di klinik gigi menggunakan peralatan khusus iaitu “ultrasonic scaler” melalui rawatan scaling.

Pembentukan karang gigi atau turut dikenali dengan nama kalkulus ini akan menyebabkan pengumpulan bakteria di sekeliling gigi dan juga gusi.

Gambar: @drasmilee melalui Dr. Mohd. Khairul Izwan

Bakteria ini akan membebaskan bahan toksik yang boleh ‘mereputkan’ tisu gusi dan tulang pendukung gigi.

Masalah gusi peringkat awal biasanya ditandai dengan gusi berdarah ketika memberus gigi atau gusi berdarah secara spontan.

Manakala masalah gusi tahap parah ditandai dengan gigi yang bergoyang dengan atau tanpa disertai rasa sakit.

Rawatan scaling atau pencucian karang gigi setiap 6 bulan sekali dapat mencegah daripada terjadinya masalah gusi yang kronik.

Perlu diingat, rawatan scaling:

  • Tidak menyebabkan gigi menjadi jarang.
  • Tidak menghakis gigi.
  • Tidak menyebabkan gigi menjadi ngilu.
  • Tidak memutihkan gigi.
  • Hanya boleh dilakukan di klinik gigi menggunakan “ultrasonic scaler” yang dijana oleh kuasa getaran tanpa menghakis gigi dan mencederakan gusi.
Gambar: @drasmilee melalui Dr. Mohd. Khairul Izwan

Oh ya, lagi satu tiada sebarang produk pun mampu menanggalkan karang gigi yang keras ini melainkan melalui rawatan scaling di klinik gigi sahaja. Jika ada yang claim menjual produk yang boleh menanggalkan karang gigi tanpa perlu berjumpa doktor gigi di klinik, maka jangan sesekali tertipu tau.

Kebanyakan klinik gigi sama ada klinik kerajaan mahupun swasta telah pun mula kembali menjalankan rawatan scaling melalui SOP dan mengikut garis panduan yang ketat bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.

Oleh itu, hubungilah klinik pergigian yang berhampiran dengan anda untuk maklumat lanjut serta bagi mendapatkan temujanji yang diperlukan. Temujanji boleh diperoleh melalui panggilan telefon. Tidak perlu berpusu-pusu serbu klinik gigi pula ya.

Semoga bermanfaat!

Dr Mohd Khairul Izwan,
Suka berkongsi.

Jemput follow FB saya dan set See First supaya anda tidak tertinggal info yang menarik dan sangat berguna tentang kesihatan pergigian.

#DakwahGigi

Kredit gambar: IG drasmilee

Gambar: @drasmilee melalui Dr. Mohd. Khairul Izwan
Gambar: @drasmilee melalui Dr. Mohd. Khairul Izwan

Sumber: Dr. Mohd. Khairul Izwan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'