Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan.

Penganjuran LIMA’21 Tahun Depan Dibatalkan – Kem. Pertahanan

PUTRAJAYA – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2021 (LIMA’21) yang sepatutnya bakal berlangsung pada 16 hingga 20 Mac 2021 nanti dibatalkan.

Kementerian Pertahanan menerusi satu kenyataan memaklumkan, pembatalan tersebut berikutan impak ekonomi akibat wabak pandemik COVID-19 yang dilihat memberi kesan besar terhadap jumlah penyertaan pempamer dan pelabur dalam acara antarabangsa seperti LIMA.

“Ianya berkait rapat dengan langkah yang diambil oleh kebanyakan negara untuk menutup sempadan dan menyekat perjalanan ke luar negara bagi mengurangkan risiko penularan wabak tersebut, seterusnya menyukarkan pihak kementerian untuk mencapai sasaran penyertaan yang ditetapkan.

“Selain itu, kekangan masa dalam keadaan mencabar juga menyumbang kerana penganjuran acara berskala besar seumpama ini memerlukan tempoh yang wajar agar dapat dirancang dengan teliti dan terperinci termasuk untuk menjalankan aktiviti promosi dan publisiti bagi mendapatkan sasaran penyertaan dan juga memenuhi keperluan pelbagai sektor yang berkaitan,” kata kenyataan tersebut, semalam.

Dalam pada itu, ia sekaligus akan turut mempengaruhi impak kepada penjenamaan LIMA yang selama ini diklasifikasikan sebagai pameran maritim dan aeroangkasa utama di rantau Asia.

Mengulas lanjut, kenyataan tersebut menjelaskan, pembatalan tersebut juga dipengaruhi faktor pulangan perbelanjaan kerajaan dan syarikat penganjur.

“Kos penganjuran LIMA’21 dijangka meningkat mengambil kira keperluan untuk memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Dengan jangkaan jumlah penyertaan akan berkurangan, adalah sukar untuk mencapai pulangan pelaburan berbanding kos yang dikeluarkan oleh kerajaan dan penganjur,” tambah kenyataan itu lagi.

Difahamkan, keputusan pembatalan tersebut juga dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada pihak-pihak pemegang taruh dan juga pihak berkaitan yang lain.

Sumber: Kementerian Pertahanan Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.