Siakap Keli

PKS Terjejas COVID-19 Di Perak Boleh Mohon Geran Prihatin Perak (GERUP)

IPOH, 16 Julai — Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Perak yang terjejas susulan penularan wabak COVID-19 boleh memohon Geran Prihatin PKS Perak (GERUP) secara dalam talian mulai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata permohonan geran berbentuk “one off” dengan jumlah maksimum RM3,000 itu boleh dibuat sehingga 30 Julai ini menerusi pautan gerup.smecorp.gov.my.

Beliau berkata antara perbelanjaan yang layak dibiayai melalui bantuan itu adalah kos pemasaran, kos pembelian bahan mentah, pembayaran gaji pekerja, sewa premis perniagaan serta pembelian peralatan.

“PKS yang menerima bantuan ini kemudiannya akan dipantau dan dibimbing oleh agensi-agensi keusahawanan negeri Perak bagi memastikan pembangunan kapasiti yang berterusan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan GERUP di Pusat Pembangunan Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di sini, hari ini.

Menurutnya mana-mana PKS yang menghadapi kekangan dalam membuat permohonan secara dalam talian perlu meminta bantuan daripada 24 agensi pembimbing yang telah dilantik oleh kerajaan negeri untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Saarani berkata antara agensi yang dilantik adalah SME Corporation Malaysia (SME Corp), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Yayasan Perak, Jabatan Pertanian Negeri Perak, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tekun Nasional (TEKUN) dan PKNP.

Selain itu, beliau berkata antara syarat utama untuk memohon adalah syarikat perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan telah beroperasi sebelum 1 Jan lepas, jumlah jualan tahunan kurang daripada RM300,000 atau jumlah pekerja kurang daripada lima orang serta tidak pernah menerima Geran Khas Prihatin daripada kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya semua syarat-syarat utama ini dipenuhi oleh para PKS di Perak bermakna mereka layak untuk memohon geran ini bagi meneruskan semula perniagaan yang dijalankan sebelum ini,” katanya.

Sumber: Bernama

Nor Azilah