Siakap Keli
Gambar: Polis Daerah Petaling Jaya

Mayat Lelaki Ditemui Dalam Longkang, Dipercayai Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Curi Kabel

PUTRAJAYA, 22 Julai – Satu mayat lelaki ditemui mati terbaring dalam longkang di KM 460, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Selatan, kira-kira 1.39 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, penemuan mayat tersebut berikutan lawatan tapak oleh pegawai teknikal PLUS bersama kontraktor bagi mengukur panjang kabel yang hilang di kawasan tersebut untuk tujuan sebut harga dan penyelenggaraan.

“Pihak Forensik IPK Selangor telah dihubungi dan membuat siasatan, mendapati tiada kesan kecederaan akibat perlakuan jenayah di tubuh badan si mati.

“Siasatan lanjut di sekitar tempat kejadian mendapati terdapat beberapa kabel, fius dan wayar telah dipotong dan hilang.

Gambar: Polis Daerah Petaling Jaya

“Mangsa dipercayai melakukan jenayah curi kabel di sekitar lebuhraya berkenaan dan telah terkena renjatan elektrik (hingga) menyebabkan mati serta-merta di tempat kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) Daerah Petaling Jaya turut hadir di tempat kejadian bagi menguruskan mayat sebelum dibawa ke hospital.

Menurutnya, mayat lelaki tanpa identiti tersebut yang dipercayai warga asing itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi tujuan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

“Kejadian ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), memandangkan tiada unsur-unsur jenayah dikesan akibat kematian tersebut,” tambah kenyataan itu lagi.

Gambar: Polis Daerah Petaling Jaya

Sumber: Polis Daerah Petaling Jaya

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.