Siakap Keli

Penganjur Karnival Dikompaun Tidak Patuh SOP PKPP

KEPALA BATAS, 23 Julai — Polis mengeluarkan kompaun terhadap penganjur sebuah karnival sempena Aidiladha di Bertam, di sini malam tadi kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata sepasukan polis bersama petugas Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan pemantauan SOP PKPP di karnival yang diadakan di kawasan lapang bersebelahan sebuah pasar raya itu pada 10.30 malam tadi.

“Hasil pemantauan mendapati penganjuran karnival berkenaan tidak mengikut SOP yang telah ditetapkan antaranya tiada laluan khas keluar masuk, tidak mencatatkan kehadiran pengunjung, tidak mengambil suhu dan tiada penjarakan sosial malah penganjur juga tidak mengawal jumlah pengunjung yang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, kompaun RM1,000 dikenakan ke atas seorang lelaki berumur 48 tahun yang merupakan penganjur karnival tersebut atas kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Beliau berkata pihaknya dan KKM akan mengemukakan cadangan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk menarik semula lesen penganjuran karnival itu kerana kegagalan mematuhi SOP dalam tempoh PKPP ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata pihaknya menumpaskan geng curi rokok yang aktif menjalankan kegiatan jenayah terbabit di kedai runcit sekitar daerah SPU selepas menahan tiga lelaki berumur 35 hingga 39 tahun di lokasi berasingan di sini pada 11.30 pagi semalam.

“Modus operandi geng itu adalah pergi ke kedai runcit sebelum meminta untuk beli rokok dan dalam masa sama mahu membeli beras dalam kuantiti yang banyak sehingga pekerja terpaksa mengambilnya di dalam stor. Suspek kemudian akan mengambil rokok-rokok yang terdapat di kaunter dan melarikan diri.

“Terbaharu kejadian pada 3 petang Selasa, mereka melarikan rokok bernilai RM435 di sebuah kedai runcit di Pongsu Seribu,” katanya.

Katanya, siasatan juga mendapati rokok-rokok yang mereka curi akan dijual kepada kedai runcit di sekitar Ipoh, Perak bagi mengelak dikesan pihak polis dan geng tersebut dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah itu sejak beberapa bulan lepas.

Menurutnya, tiga lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sumber: BERNAMA

" "