Siakap Keli
arus karau rip current
Gambar: Guyon Waton

(Video) Detik Cemas Pengunjung Tenggelam-timbul Ditarik Arus Kuat, Penyelamat Pun Nyaris Hanyut

Detik gembira boleh menjadi tragedi dalam sekelip mata. Disebabkan itulah orang tua-tua sering berpesan agar sentiasa berwaspada ketika bersuka ria terutamanya jika melakukan aktiviti melibatkan air. Ianya gara-gara sifat air yang sukar dijangka dan boleh berubah sekelip mata seperti fenomena kepala air. Malah, mereka yang sering ‘bermain’ dengan air pun tidak terkecuali menjadi mangsa keganasan fenomena alam ini.

Baru-baru ini, satu akaun Twitter dipercayai dari negara seberang berkongsi detik cemas pengunjung pantai ditarik arus kuat ombak yang besar.

Dalam video itu, kelihatan dua individu sedang menaiki sebuah bot sebelum bot mereka naiki terbalik. Mereka kemudiannya ditarik arus air biarpun bertungkus lumus untuk ke darat sambil cuba dibantu oleh para pengunjung lain.

Video itu telah menyebabkan orang ramai cemas melihat mangsa yang terkapai-kapai apabila ditarik arus berkenaan. Pun begitu, nasib kedua-dua mereka tidak dapat diketahui.

Perkongsian itu mendapat perhatian lebih 24 ribu warga maya dengan lebih 929 ribu tontonan.

Jauhi lokasi arus karau atau rip current

Menurut seorang netizen, fenomena itu dipercayai berlaku akibat arus karau atau dikenali sebagai rip current.

Pesannya, pengunjung sebaiknya menjauhi lokasi arus karau bagi mengelakkan perkara yang tidak diingin. Tambahnya, mangsa yang terperangkap perlu berenang ke sisi bagi melepaskan diri dari arus tersebut.

“Kalau ada rip current begini mesti berenang ke arah kiri atau kanan menjauhi arah arus kerana kita tak akan boleh berenang ke depan. Hasilnya akan terbawa dan terseret arus,” kata Rangga A Nugraha.

Rip curent atau arus karau berlaku apabila ombak yang menghempas pantai kembali ke lautan. Air akan mengalir ke tempat yang lebih dalam, menjadikan kawasan ‘pertembungan’ dua ombak yang kembali ke laut mempunyai arus yang lebih kuat.

Berikut merupakan empat ciri dikongsikan Surf Life Saving Australia yang perlu anda perhatikan bagi mengenalpasti arus karau.

  • Warna air yang lebih gelap
  • Gelombang ombak yang lebih sedikit
  • Permukaan bergelombang yang dikelilingi air tenang
  • Sesuatu yang hanyut ke laut atau berbuih

Sumber: Guyon Waton

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.