Siakap Keli
pengawal keselamatan diserang gajah
Kredit: MPKK Tanjung Sedili

Pengawal Keselamatan Maut Diserang Gajah Liar Di Kota Tinggi

KOTA TINGGI, 27 Julai (Semalam) — Seorang pengawal keselamatan di sebuah lombong pasir ditemukan mati diserang gajah liar di kawasan lombong pasir berkenaan, di Batu 6, Simpang Perani-Mawai, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata pihaknya dimaklumkan berhubung penemuan mayat lelaki tempatan berumur 56 tahun itu pada kira-kira 10.30 pagi.

“Hasil siasatan di tempat kejadian, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring tidak berbaju dan hanya berseluar hitam dengan kesan lebam pada bahagian badan yang disyaki diserang gajah liar,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Hussin berkata siasatan turut mendapati terdapat kesan tapak kaki gajah, kesan seretan haiwan berkenaan pada tubuh mangsa serta kesan kemek di bahagian bonet serta pintu kereta Honda milik mangsa.

Beliau berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Sementara itu, isteri mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mariamah, 53, berkata suaminya, Misran Tukijo, tidak menunjukkan sebarang perubahan sebaliknya begitu ceria dan ingin membeli timun bagi memberi makan kepada gajah di kawasan tempat kerjanya itu.

“Abang Yan (Misran) memang sedar kawasan berkenaan (lombong pasir) banyak gajah liar. Kami berdua pernah mengiringi gajah-gajah itu melintas jalan besar di situ,” katanya ketika ditemui Bernama di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.

Mariamah yang merupakan rakyat Indonesia dan menghidap kanser payu dara tahap dua berkata dia berkahwin dengan Misran sejak 13 tahun lepas dan tinggal di Perumahan Tersusun Kampung Mawai Baru.

“Saya tidak sangka arwah yang sepatutnya bersama saya untuk memetik pucuk ubi sebagai sayur hari ini tidak pulang walaupun sudah habis waktu bekerja 7 pagi tadi (semalam).

“Saya menelefon beberapa kali, tetapi, arwah tidak menjawab panggilan lalu membuatkan saya curiga dan mencarinya di tempat kerja,” katanya.

Mariamah yang tiba di kawasan lombong terbabit pada kira-kira 9.30 pagi semalam menemukan suaminya terbaring dan tidak bernyawa tidak berapa jauh dari kereta yang dijadikan tempat tidur di kawasan lombong pasir tersebut.

Jenazah suaminya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mawai Baru selepas selesai proses bedah siasat, katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.