Siakap Keli

“Ditelan Mati Emak, Diluah Mati Bapa”, Wanita Baru Bersalin Bimbang, Terpaksa Berjauhan & Tak Dapat Jaga Ibu Pekak, Buta Kerana TEMCO

KUALA PERLIS, 10 Ogos (Bernama) — “Ditelan mati emak, diluah mati bapa”, begitulah perumpamaan sesuai bagi Siti Zulaikha Sharif, 29, yang terpaksa berjauhan dengan ibunya yang buta dan pekak di Kampung Kuala Sanglang, akibat peningkatan penularan kes COVID-19 di negeri ini.

Siti Zulaikha yang baru sahaja melahirkan bayi sulungnya di Hospital Tuanku Fauziah di sini Sabtu lalu  (8 Ogos) terpaksa akur untuk tidak pulang ke kediamannya yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Secara Bersasar (TEMCO).

“Saya bersama bayi menumpang di rumah kakak di Taman Aman, Kangar sehingga selesai TEMCO, manakala ibu, Som Nayan, 78, bersendirian di rumah.

“Kebiasaannya saya akan sediakan semua kelengkapan ibu seperti makan dan minum kerana keadaannya tidak seperti orang lain sejak azali (sejak lahir)…bagaimanapun ibu sangat ‘istimewa’ kerana boleh menguruskan diri sendiri di rumah, cuma saya khuatir jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini, katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Suri rumah itu berkata, beliau meminta pertolongan jirannya, Rubiah Daud untuk membantu ibunya selain turut mengirimkan wang secara dalam talian kepada jirannya untuk membeli keperluan makan minum ibunya itu.

Katanya, biarpun ibunya cacat penglihatan dan pendengaran, namun wanita itu sentiasa peka dengan persekitaran semasa melalui telefon pintarnya dan aplikasi khas “Be My Eyes” untuk orang buta.

Siti Zulaikha berkata, sebagai penjaga ibu sejak kematian bapa dan abangnya dalam kemalangan jalan raya 10 tahun lalu, beliau sentiasa memastikan ibunya dalam keadaan baik dan selamat dengan menggunakan kemudahan teknologi terkini.

Sementara itu, buruh Arshad Daud, 45, dari Kampung Tanah Timbul, di sini juga terpaksa menjalani kehidupan harian bersama tiga anaknya dalam situasi TEMCO.

Katanya, beliau mengambil alih tugas isterinya menjaga tiga anaknya berusia lingkungan tiga hingga lapan tahun di rumah sementara isterinya berada di sebuah hospital di Kangar sejak semalam untuk bersalin anak keempat.

“Alhamdulillah isteri saya, Ismawati Ismail,38, selamat melahirkan anak perempuan tepat jam 5.45 pagi tadi. Saya akui tidak mudah untuk saya uruskan anak sendirian…saya sendiri tidak dapat melihat dan mengazankan bayi saya kerana berada dalam tempoh TEMCO, ” katanya menambah beliau tidak sabar menanti pengakhiran TEMCO untuk menyambut kepulangam isteri dan bayi perempuannya itu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengesahkan 11 kes termasuk 10 kes baharu COVID-19 di Perlis berasal daripada  Kluster PUI Sivagangga di Kedah.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.