Siakap Keli

Hospital Melaka Rayu Orang Ramai Tampil Derma Darah

MELAKA, 11 Ogos – Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Melaka merayu orang ramai yang memiliki darah jenis O, A, B dan AB untuk tampil menderma darah ke hospital itu bagi memastikan bekalan mencukupi untuk keperluan pesakit.

Jabatan itu menerusi kenyataannya memaklumkan penderma darah boleh hadir ke Hospital Melaka pada Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, manakala pada Sabtu bermula dari pukul 11 pagi hingga 4.00 petang.

“Program derma darah turut diadakan di beberapa lokasi lain termasuk di pusat beli-belah KIPMall Bachang esok, Wisma Persekutuan, Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 12 Ogos dan Syarikat Air Melaka Berhad, Jalan Hang Tuah pada 13 Ogos.

“Keprihatinan dan sumbangan anda dalam membantu kami mengekalkan bekalan darah untuk pesakit amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berhubung jadual bergerak bagi program derma darah di Facebook rasmi jabatan itu iaitu ‘melakabloodbank’ atau hubungi 06-2892873.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang