Siakap Keli

Didakwa Hina PDRM, ATM: Asri Janggut Akan Dipanggil Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut berhubung kenyataannya yang seumpama menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi sebuah video tular di laman sosial, semalam.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata Mohd Asri akan dipanggil untuk diambil keterangannya dalam minggu ini oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ.

Beliau berkata siasatan dijalankan selepas dua laporan polis yang dibuat di Balai Polis Travers dan Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada Bernama.

Hari ini, Bernama melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan dakwaan Mohd Asri bahawa anggota PDRM tidak menjaga solat sebagai keterlaluan.

Semalam, satu klip video berdurasi 31 saat memaparkan Asri Janggut, 42, dalam satu sidang media mendakwa anggota polis serta tentera tidak menjaga solat.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.