Siakap Keli
FOTO: Repair Gambar Lama

Ini 5 Filem P.Ramlee Yang Kini Tidak Ditayangkan Di Televisyen Atas Sebab-Sebab Tertentu

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Siapa je yang tidak meminati filem dari seorang penggiat seni Tanah Air yang termasyhur iaitu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Dengan bahasa kiasan yang digunakan dalam setiap filem seolah menyindir perbuatan orang dan tidak pernah menyinggung perasaan atau menjatuhkan air muka seseorang.

Tidak mengira usia dan bangsa, semua filem allahyarham telah menyatukan masyarakat. Namun, ada beberapa perihal yang korang kena tahu bahawa walaupun kita sering menonton filem ‘lama-lama’ di kaca TV, ketahuilah bahawa ini lima filem dan penyebab filem tersebut tidak diperttontonkan di TV pada era moden ini.

“P. Ramlee sebagai tokoh seni teragung alam Melayu.”

Dalam nada bergurau, seorang rakan saya pernah berkata; “Syarat sah jadi Melayu ada tiga: Percaya kepada Allah, Muhammad, P. Ramlee!”

Kalau difikirkan balik, ada betulnya juga kenyataan itu. Nama P. Ramlee sangat dekat dengan masyarakat Melayu. Setiap lapisan masyarakat tidak kira yang tua, muda malah kanak-kanak sekalipun mengenali nama P. Ramlee sebagai tokoh seni teragung alam Melayu.

Di sebalik kemasyhuran nama P. Ramlee tidak semua filem lakonan dan arahannya ditayangkan di kaca televisyen. Ayuh kita lihat 5 filem P. Ramlee yang tak keluar di kaca TV.

1. BAKTI (1950) arahan L. Krishnan

Filem pertama yang menampilkan P. Ramlee sebagai hero. P. Ramlee berlakon sebagai Nasir, dan nama ini juga diberikan kepada anak sulungnya yang dilahirkan pada tahun 1953. Heroin filem ini adalah Kasma Booty.

2. GELORA (1970) arahan P. Ramlee

Dilakonkan oleh Sarimah, Arman Yadi, Isma Rubee dan P. Ramlee. Filem ini agak kontroversi kerana memaparkan babak-babak intim yang hanya sesuai ditonton oleh penonton dewasa.

3. SABARUDIN TUKANG KASUT (1966) arahan P. Ramlee

Filem ini berkonsepkan kisah ‘1001 Malam’ dan bercorak komedi. Ia mengandungi banyak sindiran tajam kepada pemerintah. Namun ia boleh dijadikan iktibar untuk menjalani kehidupan yang lebih baik di muka bumi ini.

4. MELANCHONG KA-TOKYO (1964) arahan Ramon A. Estella

Filem Melayu pertama yang dibuat penggambaran di Tokyo, Jepun. Sebagai tarikan, filem ini telah dibuat dalam bentuk tatawarna (Eastmancolor). Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dijemput sebagai pelakon undangan dalam filem ini bersama-sama isterinya, Saloma.

5. SITORA HARIMAU JADIAN (1964) arahan P. Ramlee

Filem arahan pertama P. Ramlee di Kuala Lumpur setelah berhijrah dari Singapura. Filem ini bercorak seram/horror yang terinspirasi daripada filem Werewolf of London (1935). Idea membuat filem ini tercetus selepas P. Ramlee melawat studio Merdeka yang terletak di sebelah Zoo Negara.

Studio pula dalam kandang zoo. Silap-silap harimau terlepas, habis dingapnya! Kalau buat gambar si ‘tora’ memang bagus. – P.Ramlee

Tora (虎) bermaksud ‘harimau’ dalam bahasa Jepun.

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan filem-filem ini tidak dapat ditayangkan di televisyen.

Antara sebabnya ialah salinan filem hilang seperti filem Bakti, Melanchong Ka-Tokyo dan Sitora Harimau Jadian. Mastercopy filem Melanchong Ka-Tokyo dipercayai telah musnah dalam satu peristiwa banjir di studio Jalan Ampas pada tahun 1966.

Sitora Harimau Jadian dipercayai mempunyai unsur tahyul yang keterlaluan. Salinan filem ini juga dipercayai telah lenyap tanpa sebarang jejak. Salinan filem Sabarudin Tukang Kasut pula berada dalam kualiti yang agak rendah. Tahap audio dan visualnya sangat menyedihkan. Dalam VCD originalnya tertulis “Keadaan Gambar & Suara Kurang Memuaskan. Harap Maaf.”

Filem Gelora mengandungi unsur seks yang hanya sesuai ditonton oleh penonton dewasa. Jadi tidak hairanlah ia tidak keluar di kaca TV. 5 filem ini boleh dikategorikan sebagai filem-filem ‘rare’ yang melibatkan P. Ramlee sebagai pelakon dan pengarah. Kongsikan pandangan anda tentang filem-filem P. Ramlee yang tak keluar di TV ini.

 

Sumber: Danial Aziz Ahmad, Repair Gambar Lama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang