Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Macam Dalam Set Filem Dune”, Kalimantan Terus Terbakar, Asap Tebal Selubungi Penduduk

Kalimantan terus Terbakar
Kredit: Threads @lovinsilence & a_rizaldi

Hampir tiga bulan kebakaran hutan melanda Kalimantan, Indonesia, namun keadaan masih belum pulih apabila asap tebal terus menyelubungi kawasan berkenaan.

Keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada negara jiran seperti Malaysia dan Singapura, malah penduduk yang tinggal berhampiran kawasan kebakaran terpaksa berdepan situasi lebih sukar setiap hari.

Menerusi beberapa perkongsian di Threads, penduduk Palangka Raya, Kalimantan Tengah terus berkongsi keadaan semasa yang mereka alami, sekali gus menarik perhatian orang ramai terhadap situasi yang semakin membimbangkan.

Antaranya, pengguna Threads @lovinsilence menyamakan keadaan bandar itu dengan latar filem Dune selepas memuat naik beberapa foto dan video yang memaparkan suasana diselubungi asap berwarna oren.

Kalimantan terus Terbakar

Menurut perkongsiannya, keadaan pada pukul 5 petang yang sepatutnya masih terang kini bertukar gelap sehingga kenderaan terpaksa memasang lampu untuk melihat jalan di hadapan.

Malah, bangunan dan mercu tanda di sekitar bandar itu juga hampir tidak kelihatan apabila asap tebal terus menyelubungi kawasan berkenaan.

“Petang ini Palangka Raya seperti dalam set filem Dune. Bernafas sengal, sakit, pilu,” katanya menerusi perkongsian tersebut.

Sementara itu, pengguna Threads @a_rizaldi turut berkongsi keadaan dari sudut berbeza yang memperlihatkan situasi sama, dengan asap tebal menyelubungi persekitaran bandar berkenaan.

Namun, satu foto yang dikongsikannya turut mencuri perhatian apabila seorang penjual ais krim dilihat menolak basikal dengan gerai jualannya di tengah-tengah keadaan berjerebu teruk.

Apa yang lebih menyedihkan, lelaki berkenaan kelihatan tidak memakai pelitup muka ketika menolak basikalnya, meskipun udara di sekelilingnya dipenuhi asap.

Pemandangan itu memberi gambaran tentang bagaimana sesetengah penduduk masih perlu keluar mencari rezeki meskipun terpaksa berdepan keadaan persekitaran yang tidak menentu.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Indonesia turut meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap situasi tersebut, selain berharap kebakaran yang berlaku dapat ditangani segera.

Intipati
  • Kebakaran hutan hampir tiga bulan di Kalimantan masih menyebabkan asap tebal berterusan.
  • Penduduk Palangka Raya berkongsi suasana bandar yang gelap dan berjerebu teruk.
  • Seorang penjual ais krim dilihat masih bekerja tanpa pelitup muka dalam keadaan berjerebu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan