Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

"Rakyat Kamu Bergelut Dengan Asap” Sambut Presiden Mesir Dengan Meriah, Warga Indonesia Luah Kecewa Terhadap Prabowo

Warga Indonesia Kecewa Prabowo
Kredit: Kompas.com & Threads @tengkukhadafi

Belum reda isu jerebu akibat kebakaran hutan di Kalimantan, rakyat Indonesia sekali lagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Presiden Prabowo Subianto susulan sambutan besar-besaran bagi meraikan kunjungan Presiden Mesir.

Baru-baru ini, Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi mengadakan lawatan ke beberapa negara Asia, termasuk Indonesia.

Ketibaan beliau disambut meriah oleh Prabowo menerusi upacara rasmi yang turut melibatkan anggota polis, pasukan berkuda dan pelbagai petugas awam Indonesia.

Bagaimanapun, sambutan itu mengundang kritikan apabila ada pihak mempersoalkan keutamaan kerajaan ketika beberapa kawasan di negara itu masih berdepan kesan bencana.

Warga Indonesia Luah Rasa Kecewa Lihat Sambutan Meriah Prabowo Kepada Presiden Mesir

Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna @tengkukhadafi berkongsi video upacara berkenaan sambil meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan Prabowo.

“Apa? Kamu boleh menyambut Presiden Mesir dengan meriah dan menggunakan ramai kakitangan.

“Tetapi rakyat kamu sedang bergelut dengan asap kebakaran hutan di Kalimantan, Sumatera dan Papua,” katanya.

Pengguna itu turut membangkitkan kematian penduduk di pusat pemindahan yang didakwa berpunca daripada kelewatan pengendalian ketika gempa bumi sebelum ini.

Menurutnya, Aceh juga masih belum pulih sepenuhnya daripada bencana, namun sambutan besar-besaran tetap diadakan bagi meraikan kunjungan pemimpin Mesir itu.

Menjengah ke ruangan komen, beberapa pengguna Indonesia turut menyuarakan pandangan serupa dan mempersoalkan keputusan mengadakan sambutan sedemikian ketika negara berdepan pelbagai bencana.

Seorang pengguna, @retsianare, berpendapat sambutan itu boleh diadakan secara sederhana tanpa mengetepikan rasa hormat terhadap tetamu negara.

Menurutnya, kerajaan juga boleh menjelaskan keadaan semasa kepada rombongan Presiden Mesir menerusi sidang media dan memohon maaf kerana tidak dapat mengadakan sambutan yang lebih meriah.

“Padahal, mudah sahaja. Alihkan peruntukan, adakan majlis sambutan yang lebih sederhana tetapi tetap penuh hormat, kemudian sampaikan permohonan maaf menerusi sidang media yang ditujukan kepada rombongan Presiden Mesir.

“Jelaskan bahawa negara kami tidak dapat mengadakan sambutan besar-besaran kerana sedang berdepan pelbagai bencana. Mereka pasti akan memahami keadaan itu, malah mungkin bersimpati.

“Sudah tentu, rakyat Indonesia juga akan menghormati kerajaan yang tahu mengutamakan perkara lebih penting,” tulisnya.

Sumber:Threads
Intipati
  • Presiden Mesir Abdel Fattah Al-Sisi disambut meriah Prabowo Subianto dalam lawatan ke Indonesia.
  • Sambutan itu dikritik pengguna Threads ketika jerebu kebakaran hutan masih menjejaskan beberapa kawasan.
  • Beberapa pengguna mencadangkan sambutan lebih sederhana bagi menghormati keadaan bencana di Indonesia.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan