Siakap Keli

Remaja Dilapor Meninggal Dunia, Didakwa Kerana Bermain PUBG Berhari-hari Tanpa Makan & Minum

Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dilapor meninggal dunia pada 10 Ogos di negeri Andhra Pradesh di India didakwa bermain PUBG, atau PlayerUnknown’s Battlegrounds, berterusan selama berhari-hari tanpa makan atau minum air secukupnya.

Laporan Gulf News menyebut bahawa remaja itu jatuh sakit akibat daripada dehidrasi yang teruk.

Remaja tersebut telah dihantar ke hospital swasta di Eluru Town kerana mengalami cirit-birit yang melampau sehinggakan terpaksa menjalani pembedahan.

Mangsa kemudian meninggal dunia ketika menjalani rawatan kerana tidak dapat bertahan daripada pembedahan tersebut.

Sebelum di bawa ke hospital, mangsa sedang bermain PUBG dalam keadaan yang tidak tenteram, emosi terganggu dan sentiasa dalam kemarahan, kata bapanya.

Kes sebegini sudah pernah berlaku di India, hujung Mei 2019, seorang remaja berusia 16 tahun telah meninggal dunia akibat daripada bermain permainan video, PUBG.

Mangsa dikenali sebagai Furkhan Qureshi dan siasatan menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.

Sumber: GULF NEWS

Alfi Aiman