Siakap Keli
cari jodoh guna iklan banner
Gambar: Facebook/Google

Pernah Viral Pasang “Banner” Untuk Cari Jodoh, Lelaki Ini Sudah Temui ‘Cintanya’ & Berkahwin Tak Lama Lagi

“Saya sendiri tidak menyangka akan bertemu jodoh melalui cara ini,” kata Nooraziro Abdullah kepada Siakap Keli ketika dihubungi pagi tadi.

Nooraziro, 36, sebelum ini pernah tular dengan iklan mencari jodoh menggunakan banner yang digantung di tepi jalan pada Januari lalu.

Biarpun banner tersebut telah diturunkan majlis perbandaran, kongsi Aziro, seramai kira-kira 500 individu telah menghubunginya melalui Whatsapp sejak iklan itu tular di Facebook.

“Lebih kurang 500 orang yang Whatsapp saya dan lebih 300 panggilan saya terima,” kata lelaki yang berasal dari Marang, Terengganu itu.

Pun begitu katanya, dia hanya memfokuskan kepada sekitar lima atau enam orang wanita sahaja untuk proses perkenalan yang lebih lanjut.

“Saya kawan dulu dengan lima, enam orang. Cari yang serasi dan boleh terima saya.”

Tambah Aziro, bakal isterinya merupakan seorang wanita berusia 33 tahun yang tinggal di Kuantan, Pahang.

Wanita yang berniaga nasi ayam itu mula mengenali Aziro sejak Januari lalu sebelum keluarga mereka bertemu pada Julai untuk majlis merisik.

Jelasnya, segala urusan persediaan nikah mereka yang dijangka berlangsung pada 10 Oktober ini telahpun selesai.

“Semua urusan pernikahan telahpun diselesaikan buat masa ini, hanya menunggu majlis,” katanya.

“Akad nikah akan dilakukan pada 9 Oktober, Jumaat manakala majlis sebelah perempuan pada Sabtu, 10 Oktober. Majlis sebelah saya pada 17 Oktober,” kongsinya kepada kami.

Sebelum menamatkan perbualan, Nooraziro sempat meluahkan rasa bersyukur dan terharu atas doa serta ucapan tahniah orang ramai terhadapnya sejak tular pada awal tahun ini.

Semoga semua urusan pernikahan dipermudahkan untuk Nooraziro dan pasangan, moga berbahagia hingga syurga.

Bagi yang sedang mencari jodoh, kisah ini mungkin boleh dijadikan harapan buat anda.

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.