KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Seorang pemandu lori sampah dan empat pekerja warga Bangladesh hari ini ditahan, berhubung bendera Malaysia yang dipasang secara terbalik di hadapan lori mereka.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada seorang lelaki berumur 36 tahun, berhubung perkara itu.
Beliau berkata, pengadu telah menahan lori berkenaan dan menegur pemandu serta merakam insiden itu di hadapan sebuah masjid di Rawang, di sini, hari ini, sebelum ia menjadi tular di media sosial.
“Selain pemandu lori berumur 48 tahun ditahan, turut ditahan adalah empat lelaki warga Bangladesh yang merupakan pekerja syarikat yang sama, berumur lingkungan 30 hingga 43 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arifai berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan akan direman esok.
— BERNAMA