Siakap Keli

Ibu Bapa Didakwa ‘Paksa’ Anak Makan Untuk Rakaman Video Timbulkan Kemarahan Ramai

Sepasang pasangan suami isteri di China telah didakwa oleh warganet menggunakan anak mereka untuk membuat video persembahan makan secara online dengan tujuan untuk mendapatkan duit, lapor Daily Mail.

Video rakaman serta gambar kanak-kanak berusia 3 tahun itu telah muncul di internet. Kanak-kanak tersebut tampak seperti mempunyai masalah berat badan berlebihan sambil memakan makanan yang dihidang di atas pinggan di hadapan kamera.

Ibu bapanya yang dipercayai memuat naik aksinya dalam internet, telah mendapat kritikan dari jutaan warganet yang marah serta mengecam mereka kerana didakwa ‘mendera anak perempuan mereka’ dan ‘menggunakannya sebagai keldai untuk mendapatkan duit’.

 

Insiden itu telah mencetuskan perdebatan hangat di media sosial China selepas video kanak-kanak itu dikongsikan warganet.

Gambar tersebut menunjukkan bahawa ibu kepada kanak-kanak itu merupakan individu yang memuat naik video anak perempuannya sejak 2018 di sebuah platform penstriman China.

Video yang terdapat pada platform itu memaparkan seorang kanak-kanak perempuan duduk di depan kamera sambil makan sebilangan besar ladu, mi atau kek.

Video tersebut seakan ‘Mukbang’, fenomena dalam talian yang popular yang berasal dari Korea Selatan.

Kebanyakan video aksi kanak-kanak itu dikatakan sangat popular, termasuklah satu video yang berjaya mendapat tontonan sebanyak 550,000 daripada warganet.

Kebimbangan mula timbul apabila warganet memerhatikan berat badan kanak-kanak itu tidak normal seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Terdapat satu video dengan tajuk yang mendakwa bahawa berat kanak-kanak itu ialah 35 kilogram.

Laporan media juga mendakwa bahawa dalam satu video, kanak-kanak terbabit ada memberitahu kepada ibu bapanya untuk ‘berhenti memberinya makan’ tetapi ‘pinggannya segera diisi lagi’.

Insiden tersebut dengan pantasnya telah menjadi topik popular di Weibo. Berjuta-juta warganet mendakwa ibu bapa kanak-kanak berkenaan memaksa dia membuat video makan untuk mendapatkan duit.

“Ini adalah penderaan kanak-kanak! Sesetengah orang tidak layak untuk bergelar ibu bapa. Benda ni yang buat saya marah!” tulis warganet yang lain.

“Pihak berkuasa perlu segera menyiasat hal ini dan menghukum ibu bapa tersebut. Adakah anda pasti bahawa mereka adalah ibu bapa kandungnya?” tulis warganet ketiga.

Channel kanak-kanak itu telah dilaporkan digantung daripada laman web berkenaan selepas hal itu mencetuskan kemarahan ramai dalam internet.

Ibu bapa kepada kanak-kanak itu walau bagaimanapun telah menafikan tuduhan yang dilontarkan. Mereka mendakwa bahawa anak mereka sihat dan mereka merakamkan aksi anak mereka itu hanyalah untuk suka-suka.

“Video kami tidak hanya termasuk dia sedang makan makanan, ada juga berkenaan dia menurunkan berat badan serta menari,” kata ibunya kepada wartawan.

“(Dia) anak kandung saya, mengapa saya memberinya makan dengan banyak? Sejak asalnya badan dia memang sudah besar.”

All-China Women’s Federation, sebuah organisasi rasmi yang melindungi hak dan kebajikan wanita dan kanak-kanak, telah melancarkan siasatan terhadap kejadian itu, kata laporan.

Pihak berkuasa telah mengesahkan kepada media China bahawa keluarga itu tinggal di Guangzhou di selatan China dan sebuah organisasi itu telah pun menghantar wakil bagi meneliti perkara berkenaan.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa