Siakap Keli

Saya Tidak Buat Salah Melibatkan Kerja Saya, Tidak Perlu Letak Jawatan – Mohd Khairuddin

Tanjung Malim: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan tiada keperluan untuk beliau meletak jawatan susulan isu melanggar arahan kuarantin wajib yang dihadapinya ketika ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata beliau tidak akan melayan desakan segelintir pihak supaya berundur daripada Kabinet memandangkan isu yang dihadapinya bukan melibatkan salah laku kerja.

“Saya tidak buat salah yang melibatkan kerja saya, tapi kekhilafan dalam isu berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan saya serahkannya kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas program Jom Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MPSO) di pekan Slim River dekat sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berdepan kritikan ramai malah terdapat desakan agar beliau meletakkan jawatan kerana gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada Julai lepas.

Semalam, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata Bukit Aman sudah membuka kertas siasatan terhadap menteri berkenaan dan sebanyak 27 laporan polis diterima berhubung perkara itu dari seluruh negara setakat ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin mengesahkan beliau bersama tiga ahli keluarga yang lain telah hadir ke Bukit Aman semalam untuk memberi keterangan selama dua jam bermula 8.45 malam berhubung isu berkenaan.

“Semalam (Khamis) saya ke Bukit Aman, itu kali pertama beri keterangan, bukan dua kali seperti yang dilaporkan sesetengah media. Saya memberi keterangan sebagai saksi berhubung isu yang dibangkitkan sekarang,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata dalam keterangannya kepada pihak polis beliau turut memaklumkan bahawa kunjungannya ke Turki adalah lawatan separa rasmi untuk membincangkan beberapa isu antaranya berkaitan eksport minyak sawit Malaysia ke negara itu selain projek membabitkan kerajaan negeri Terengganu.

“Saya telah memohon maaf atas kekhilafan saya dan telah pulangkan gaji untuk bulan Mei hingga Ogos untuk rakyat, untuk Tabung COVID-19,” katanya sambil menambah perkara itu tidak menjejaskan tumpuan kerjanya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)