Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Hari Kebangsaan 2020: Sambutan Diadakan Dengan Norma Baharu

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) — Sambutan Hari Kebangsaan 2020 esok akan melakar sejarah tersendiri apabila ia diadakan dengan amalan norma baharu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang dikuatkuasakan.

Jika sambutan sebelum ini dimeriahkan dengan perbarisan dan perarakan pasukan beruniform serta agensi kerajaan dan swasta tetapi pada kali ini perarakan seumpamanya tidak diadakan dan digantikan dengan acara membabitkan pergerakan dan jumlah minimum hadirin.

Acara kali ini, dijadual bermula jam 8 pagi di Dataran Pahlawan, Putrajaya itu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tiada penyertaan daripada komponen lain bagi menjaga penjarakan fizikal susulan pandemik COVID-19.

Majlis dijadualkan bermula dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dataran Pahlawan dengan disambut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut sama menyambut keberangkatan Seri Paduka berdua ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020.

Ia kemudian diikuti dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ sebelum Seri Paduka berdua berangkat ke Dewan Serbaguna untuk Al-Sultan Abdullah menyampaikan Titah Diraja Sempena Hari Kebangsaan 2020.

Sebaik selesai Titah Diraja, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta orang kenamaan dijadual akan menyaksikan siaran langsung sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di layar besar yang disediakan oleh RTM.

‘Malaysia Prihatin’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan tahun ini dengan membawa maksud yang cukup mendalam kepada rakyat Malaysia selari dengan keadaan negara yang masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

— BERNAMA