Siakap Keli

Kumpulan Anjing Liar Berkeliaran Resahkan Penduduk Di Melaka

MELAKA, 9 Sept – Kehadiran kumpulan anjing liar yang kian kerap berkeliaran di beberapa taman perumahan di Melaka mengundang keresahan penduduk yang bimbang dengan keselamatan mereka.

Seorang penduduk, Mohd Aiman Ismail, 25, berkata beliau pernah mengalami pengalaman mencemaskan, apabila dikejar kumpulan haiwan berkenaan sebanyak dua kali ketika melakukan aktiviti berbasikal pada waktu malam.

“Sekarang saya tidak lagi mengayuh basikal. Pengalaman dikejar anjing memang sangat menakutkan kerana kita terpaksa menyelamatkan diri daripada digigit kumpulan anjing liar berkenaan.

“Bukan sahaja keselamatan penduduk terancam malah salakan anjing-anjing tersebut juga mengganggu suasana malam penduduk di taman ini,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Tinjauan Bernama di kawasan Taman Paya Rumput Perdana, Cheng itu mendapati, lebih 10 ekor anjing liar berkeliaran di sepanjang jalan utama kawasan perumahan tersebut.

Difahamkan anjing-anjing yang tidak bertuan itu menjadikan kawasan ladang sawit, longkang dan semak berhampiran sebagai tempat tinggal dan terdapat individu yang memberi makan kepada mereka pada waktu-waktu tertentu.

Sementara itu, seorang warga emas Maimun Hassan, 67, turut meluahkan perasaan tidak selamat, kerana kehadiran anjing-anjing liar di kawasan itu telah menyebabkan aktiviti luar rumah cucu-cucunya terpaksa sentiasa dipantau.

“Buat masa ini saya tidak ada dengar lagi ada penduduk kena gigit dengan anjing tapi kalau boleh kita mahu elakkan perkara tidak diingini daripada terjadi. Kita berharap masalah ini cepat diselesaikan sebaik mungkin demi keselamatan semua penduduk,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zainal Abu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah anjing liar selepas menerima aduan daripada penduduk.

Katanya, MBMB turut menerima aduan-aduan berkaitan kehadiran anjing-anjing liar di beberapa kawasan antaranya yang terbaharu di Tanjung Minyak, Bukit Rambai dan Taman Widuri, Bachang.

“Aduan diterima bukan setiap hari atau setiap minggu tetapi apabila setiap kali kita mendapat aduan, unit yang bertanggungjawab akan datang untuk menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

“Setiap kawasan dalam pentadbiran MBMB juga kita mempunyai seorang pegawai kawasan yang akan memantau dan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat masalah yang timbul,” katanya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang