Siakap Keli
Gambar: Nizam Rahman/Rudy

Saloma Link Dicemari Bekas Minuman, 574 kg Sampah Dikutip Di Pantai, Ini Dua Kisah Alam Sekitar Buat Kita Sedar

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Amalan membuang sampah merata-rata adalah satu perlakuan yang agak tidak bertanggungjawab.

Selain boleh mencemarkan pemandangan, ia juga boleh menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Sebagai satu inisiatif dalam menjaga alam sekitar, waktu hujung minggu ini telah dimanfaatkan dengan aktiviti mengutip sampah oleh seorang individu dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ini.

Percaya atau tidak, individu bernama Rudy Irwan Shukaime menceritakan, jambatan Saloma Link di Kuala Lumpur yang baru sahaja dibina itu telah tercemar dengan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Manakala dalam masa sama, sebanyak 574 kilogram sampah berjaya dikutip NGO alam sekitar, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) di Pantai Pasir Panjang, Segari, Perak.

Satu di ibu kota, satu di kawasan pantai, namun kedua-dua kisah ini sungguh menjentik hati kita bahawa tahap kepekaan orang awam terhadap sampah dan alam sekitar masih lagi belum tinggi.

Ikuti kedua-dua kisah ini.

Saloma Link yang hilang serinya

Gambar: Rudy Irwan Shukaime

Menurut Rudy, sebanyak dua plastik sampah-sampah berjaya dikutipnya pada pagi tadi, melibatkan bekas-bekas atau tin minuman yang masih ada air, selain puntung rokok dan plastik makanan.

Difahamkan, sampah ini dipercayai mula dibuang mungkin sejak malam tadi, kerana pada waktu itu dia turut berada di tempat berkenaan.

“Masa tu tak sebanyak pagi ni. Saya dah agak mesti ada. Jadi saya datang lagi pagi tadi.

“Sebelum inipun memang macam tu, lebih-lebih lagi jumaat hingga ahad sebab hujung minggu ramai pengunjung.

“Pengawal keselamatan ada tapi mungkin tak dapat nak kawal, tenaga kerja terhad,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli, hari ini.

Gambar: Rudy Irwan Shukaime
Gambar: Rudy Irwan Shukaime
Gambar: Rudy Irwan Shukaime

Sementara itu, aktivis KUASA, Nizam Rahman yang turut menyertai program bersihkan pantai di Pantai Pasir Panjang semalam turut berkongsi pengalaman dan pandangan peribadi di Facebooknya seperti di bawah ini.

574 kilogram sampah dalam masa kurang empat jam

Gambar: Nizam Rahman/KUASA
Gambar: Nizam Rahman/KUASA

Sebanyak 574 kilogram sampah berjaya dikutip semalam, di sepanjang Pantai Pasir Panjang, Segari, Perak, membuktikan kesedaran mengenai pengurusan sisa yang baik masih belum ada dalam diri kita.

Ada sampah yang bertarikh luput pada tahun 2010, ada juga sampah yang mempunyai label dari negara-negara jiran, dan ada juga sampah yang masih baharu.

Gambar: Nizam Rahman/KUASA
Gambar: Nizam Rahman/KUASA

Ini membuktikan bahawa isu sampah, khususnya plastik ini adalah isu yang tak bersempadan.

Kerjasama serantau amatlah diperlukan. Sampah yang dibuang di Malaysia tak semestinya akan berada di perairan Malaysia, bahkan ia mampu dibawa arus sampai ke negara-negara sekitar.

Mungkin kita tak nampak, kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan air laut dan pantai kerana habitat kita bukan di situ.

Tapi tahukah kita, peratusan gas oksigen (O2) yang dihasilkan di laut lebih tinggi daripada di kawasan-kawasan berhutan di darat?

Selain itu, lambakan sampah di laut juga akan memberi kesan kepada “Food Security” kita, memandangkan kita banyak bergantung kepada hasil laut sebagai sumber makanan.

Gambar: Nizam Rahman/KUASA
Gambar: Nizam Rahman/KUASA

Kita memerlukan sumber makanan yang sihat dan bersih, namun kini kewujudan mikroplastik dalam rantaian makanan hidupan marin amatlah membimbangkan kerana kebarangkalian untuk kita menghadam bahan-bahan plastik tersebut juga amat tinggi, melalui pengambilan sumber-sumber laut sebagai makanan harian kita.

Sebagai masyarakat umum, perkara yang paling mudah untuk kita lakukan ialah dengan mengamalkan budaya pengurusan sisa yang baik, dengan membuang sampah ke tempat yang sepatutnya, mengurangkan penggunaan barangan pakai buang, memelihara kebersihan sungai dan pantai dan melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong bersama komuniti.

Kesedaran mengenai kebersihan persekitaran dan pengurusan sisa yang berkesan ini amatlah penting, bukan hanya untuk hidupan di laut, bahkan untuk kita mendapat persekiran yang selesa melalui udara yang segar dan air yang bersih.

Selamat Hari Bersih Pantai Sedunia!

Gambar: Nizam Rahman/KUASA
Gambar: Nizam Rahman/KUASA
Gambar: Nizam Rahman/KUASA

Sumber: Nizam Rahman, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Rudy Irwan Shukaime

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.