Siakap Keli
laluan pejalan kaki tambak johor
Gambar: Bernama

Singapura Minat Sambung Laluan Pejalan Kaki Berbumbung Di Tambak Johor – Exco

ISKANDAR PUTERI, 13 Sept (Bernama) — Kerajaan Singapura berminat menyambung pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung di Tambak Johor yang dicadangkan kerajaan Malaysia bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan orang ramai di laluan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor Mohd Solihan Badri berkata hasrat tersebut disampaikan kepada beliau menerusi Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru, dua bulan lepas.

“Pertamanya, cadangan pembinaan laluan pejalan kaki sejauh 350 meter ini kita (kerajaan negeri Johor) sudah kemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan bajet. Pembinaan ini melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kerja Raya oleh kerana Tambak Johor diselenggara oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

“Kedua, cadangan ini disambut baik oleh Singapura menerusi Konsul Jeneral di Johor Bahru, yang berjumpa saya dan meminta kertas cadangan rekaan untuk pihaknya memberikan cadangan kepada kerajaannya untuk menyambung laluan tersebut,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Mohd Solihan berkata hasrat kerajaan Singapura itu menunjukkan bahawa republik berkenaan turut prihatin terhadap nasib pengguna jalan kaki di Tambak Johor, yang dianggarkan digunakan ratusan pengguna setiap hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19, dikuatkuasakan Mac lepas.

Beliau berkata pada peringkat awal, kerajaan negeri Johor memohon peruntukan sebanyak RM15 juta bagi laluan pejalan kaki sahaja, namun, ia ditingkatkan menjadi RM30 juta awal tahun ini, selepas reka bentuk semula dilakukan dengan penambahan eskalator serta laluan berbumbung dilengkapi pendingin hawa.

“Jarak 350 meter ini adalah sehingga sebelum sempadan Singapura, namun, untuk pihak Singapura pula, saya tidak pasti dari mana sampai ke mana jaraknya. Untuk laluan bahagian kita, kos pembinaan adalah melalui Kementerian Kewangan dan pelaksanaanya oleh Kementerian Kerja Raya,” katanya.

Menurut Mohd Solihan, pejalan kaki sememangnya dilarang di Tambak Johor, namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa setakat ini.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.