Siakap Keli
Gambar: Bernama

Lelaki Ditahan Memandu Dalam Keadaan Mabuk

SEREMBAN, 20 Sept — Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Persiaran Korporat, Nilai, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata lelaki berusia 39 tahun yang berasal dari Kajang, Selangor itu ditahan selepas ujian awal pernafasan dibuat ke atasnya mendapati terdapat kandungan alkohol yang tinggi dalam badan lelaki itu.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk menjalani ujian pernafasan dan hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam darah bagi suspek tersebut telah melebihi had yang dibenarkan iaitu 137mg/100ml,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Op Mabuk yang dijalankan lebih empat jam bermula 10 malam tadi turut memeriksa 60 kenderaan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right