Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Bekas Pengasuh Didakwa Pukul Kanak-Kanak Perempuan Di Taska Sebuah Kementerian

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) — Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengasuh secara cuai terhadap seorang kanak-kanak perempuan sehingga mengalami kecederaan lebam di pipi kanan kerana dipukul olehnya.

Bekas pengasuh Halimatun Hasri, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut  terhadap kanak-kanak berumur setahun berkenaan di sebuah taska di sebuah kementerian, Presint 2 di Putrajaya pada 11.30 pagi, 29 Nov 2019 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh, bagaimanapun peguam G.S.Sandhu yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya telah diberhentikan kerja.

“Anak guam saya kini tidak bekerja dan bukan berasal daripada keluarga yang senang,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Okt untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.