Siakap Keli
Gambar: Bernama

JPJ Pahang Kutip Saman Lebih RM700,000 Selepas Diskaun 70 Peratus

KUANTAN, 24 Sept– Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengutip saman berjumlah RM729,951 sepanjang Ogos, selepas diskaun 70 peratus diberikan kepada pengguna jalan raya selama dua bulan, bermula awal Ogos lepas.

Pengarahnya Kamarul Iskandar Nordin berkata hasil kutipan itu melibatkan bayaran 9,412 saman atas pelbagai kesalahan yang diselesaikan melalui pelbagai saluran antaranya kaunter dan portal JPJ.

“Berbaki tujuh hari lagi saya harap orang ramai manfaatkan peluang, dapatkan pengurangan saman sebanyak 70 peratus dan tidak menunggu hingga ke saat akhir,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Op Sepadu di sini, malam tadi.

Pengurangan saman JPJ itu akan berakhir Rabu (30 Sept), melibatkan saman bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah di bawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

Selain pejabat JPJ negeri, cawangan dan di Pusat Transformasi Bandar (UTC), orang ramai juga boleh membuat pembayaran di portal mySIKAP JPJ dan JPJ Mobile.

Mengulas mengenai Op Sepadu yang dijalankan di tiga lokasi di Gebeng, di sini, Kamarul Iskandar berkata sebanyak 1,277 kenderaan telah diperiksa dengan 334 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor (LKM) dan cermin gelap.

Tambah beliau, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut menahan enam warga Myanmar, Nepal, India dan Indonesia kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Selain JPJ dan JIM operasi itu melibatkan 12 pegawai dan 71 anggota daripada pelbagai agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right