Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Wanita Dera Amah Indonesia Merengkok Di Penjara Selepas Rayuan Akhir Ditolak

PUTRAJAYA, 24 Sept  (Bernama) — Seorang suri rumah yang mencetuskan kontroversi  kerana mendera pembantu rumah warga Indonesia empat tahun lepas,  hari ini mula menjalani hukuman penjara lapan tahun selepas rayuan akhirnya ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said menolak rayuan Rozita Mohamad Ali, 46, terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Nordin Hassan berkata selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan menghalusi hujahan, mahkamah berpuas hati rayuan perayu  (Rozita) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjalankan kuasa semakan mengikut Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah, tidak mempunyai merit.

“Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan mahkamah rendah atas dasar kesesuaian hukuman,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi juga mempunyai kuasa untuk meminda keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya (yang mengenakan bon berkelakuan baik lima tahun dengan jaminan RM20,000) mengikut Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah.

“Hukuman dikenakan Hakim Mahkamah Tinggi adalah mengikut  trend pada ketika itu, malah terdapat hukuman lebih tinggi yang pernah dikenakan dalam kes lain.

“Oleh itu, dengan mengambil kira hukuman mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan adalah penjara sehingga  20 tahun, rayuan perayu dengan ini ditolak dan keputusan  Mahkamah Tinggi dikekalkan.

“Rayuan pendakwaan untuk menambah hukuman ke atas perayu juga ditolak,” katanya.

Panel hakim tersebut membuat keputusan selepas mendengar hujahan peguam  Rozita, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mengetuai pasukan pembelaan dan Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron.

Rozita yang kelihatan tenang selepas mahkamah menjatuhkan hukuman itu dilihat berbual dengan  beberapa peguamnya sebelum diiringi anggota polis ke bilik lokap untuk dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman.

Kes dera itu menarik perhatian ramai selepas video memaparkan mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang di kawasan perumahan di Mutiara Damansara oleh pengawal keselamatan, viral di media sosial.

Pada 29 Mac 2018, Mahkamah Tinggi Shah Alam  menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap Rozita atas pertuduhan menyebabkan kecederaan teruk terhadap  pembantu rumahnya  Suyanti  Sutrinso, 19, menggunakan sebilah pisau, sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016.

Rozita  pada awalnya menghadapi pertuduhan cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan tetapi pertuduhan itu dipinda kepada menyebabkan kecederaan teruk dan pada 15 Mac 2018, Rozita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan lebih ringan itu.

Rozita sebelum ini terlepas hukuman penjara selepas Hakim Mahkamah Sesyen Mohammed Mokhzani Mokhtar melepaskannya dengan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000  atas pertuduhan menyebabkan kecederaan teruk yang telah mendapat kritikan orang ramai.

Kes itu kemudiannya dipanggil semula untuk semakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Tun Majid Tun Hamzah pada 29 Mac 2018 yang mengubah keputusan Mahkamah Sesyen dengan mengenakan hukuman penjara lapan tahun ke atas Rozita selepas memutuskan bon lima tahun itu adalah tidak memadai.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story