Siakap Keli
Gambar Via Bernama

MAQIS P.Pinang Rampas Daging Kerbau Bernilai RM261, 694.50

BUTTERWORTH, 30 Sept (Bernama) — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 28,000 kilogram (kg) daging kerbau sejuk beku bernilai RM261,694.50 kerana tidak mematuhi syarat yang ditetapkan pada permit import, semalam.

Pengarahnya Zarina Ramli berkata semua daging kerbau sejuk beku itu dirampas susulan pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang membawa produk daging kerbau sejuk beku dari India pada 4.20 petang di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT), di sini.

Katanya, hasil pemeriksaan itu mendapati semua 1,400 karton daging kerbau sejuk beku berkenaan tidak sebarang maklumat seperti alamat loji penyembelihan malah alamat pengeksport juga tidak dinyatakan pada dokumen Sijil Halal dari negara pengeksport.

“Kami merampas semua daging kerbau sejuk beku itu untuk siasatan lanjut kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan pada permit import MAQIS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zarina berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), yang membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya, MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story