Siakap Keli
Gambar: Bernama

TERKINI: Dua Kluster Baharu COVID-19 Dikesan Di Selangor – KP Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat dua kluster baharu yang dikesan pada hari ini.

Menurut kenyataan di akaun Twitter rasmi KKM, kluster baharu yang dikenalpasti itu adalah Kluster Seri Anggerik iaitu di Hulu Selangor dan satu lagi ialah Kluster Seri Setia di Gombak.

Menerusi maklumat berkenaan kluster yang dikongsikan itu, kes indeks Kluster Seri Anggerik di Hulu Selangor itu mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah. Hasil saringan kontak rapat yang dijalankan berjaya mengesan 14 kes positif lagi.

Bagi Kluster Seri Setia yang dikesan di Selangor dan W.P Kuala Lumpur pula, kes indeks dilaporkan pernah ke Semporna, Sabah. Kes didapati positif pada 27 September 2020. Hasil saringan kontak rapat berjaya mengesan 3 kes positif Covid-19.

Berikut adalah perincian dua kluster baharu yang dikesan pada hari ini:

Kluster Seri Setia, Selangor

Kluster baharu ini telah dikenal pasti di Seri Setia, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-10927) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 36 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah dari 16 hingga 20 September 2020.

Beliau bergejala sejak 21 September 2020 dan saringan COVID-19 dikesan positif pada 27 September 2020. Kes kemudiannya telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan tiga (3) lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Seri Setia dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sungai buloh untuk rawatan.

Sehingga 2 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 23 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut:

  • Empat (4) dikesan positif COVID-19;
  • 14 individu dikesan negatif; dan
  • Lima (5) individu masih menunggu keputusan.

Kluster Seri Anggerik, Selangor

Kluster baharu ini telah dikenal pasti di Hulu Selangor, Selangor. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-10776) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 37 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dari 9 hingga 18 September 2020.

Beliau mula bergejala sejak 25 September 2020 dan telah disaring. Setelah dikesan positif pada 26 September 2020, beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 14 lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Seri Anggerik dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Sehingga 2 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 67 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut:

  • 14 dikesan positif COVID-19;
  • 15 individu dikesan negatif; dan
  • 38 individu masih menunggu keputusan.

Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan.

Sumber: KKM

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa