Siakap Keli
Foto: KKM

TERKINI: 691 Kes Positif Baharu Direkodkan Dan 4 Kes Kematian Hari Ini

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu sidang media Covid-19 memaklumkan bahawa terdapat pertambahan kes positif Covid-19 kepada 691 kes setakat hari ini, 6 Oktober 2020.

Hal ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 13504 kes. Daripada jumlah tersebut, terdapat 2,936 kes aktif. Sehingga kini, terdapat 31 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 8 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sehingga setakat hari ini, terdapat 87 kes sembuh. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh beralih angka kepada 10427 kes .

Duka cita dimaklumkan empat kes kematian direkodkan hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 141 kes (1.04 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Bagaimanapun, setakat hari ini terdapat pertambahan dua kluster baharu iaitu melibatkan negeri Perak dan Sabah.

Perincian tentang Kluster Batu, Perak dan Kluster Ramai-Ramai di Sabah.

1) KLUSTER BATU, PERAK

Kluster baharu ini telah dikenal pasti di Taiping, Perak. Kluster ini dikenal pasti hasil saringan di kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan. Hasil saringan ini mendapati sebanyak tujuh (7) kes dikesan positif COVID-19 pada 5 Oktober 2020 dan mereka semua telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

Sehingga 6 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 860 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut:

  • Tujuh (7) dikesan positif COVID-19;
  • 182 individu dikesan negatif; dan
  • 671 individu masih menunggu keputusan.

Punca jangkitan masih dalam siasatan.

2) KLUSTER RAMAI-RAMAI, SABAH

Kluster baharu ini telah dikenal pasti di Sandakan, Sabah. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-12161) merupakan seorang pemandu bas dan mengalami gejala sakit tekak dan demam bermula 27 September 2020. Kes dikesan positif COVID-19 pada 3 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 19 lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.

Sehingga 6 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 166 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut:

  • 20 dikesan positif COVID-19; dan
  • 146 individu masih menunggu keputusan.

Punca jangkitan masih dalam siasatan.

Sumber: Sidang Media KKM

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang