Siakap Keli

Ozil Sedia Bayarkan Gaji Penuh Maskot Gunnersaurus Selepas ‘Dibuang’ Arsenal

Pemain bola sepak skuad kebangsaan Jerman yang juga bintang utama Arsenal, Mesut Ozil dilapor sedia membayar gaji maskot hijau Gunnersaurus, yang perkhidmatannya ditamatkan baru-baru ini.

Gunnersaurus merupakan maskot Arsenal yang sangat terkenal dan sentiasa ada memeriahkan stadium di hari perlawanan. Bagaimanapun, dengan situasi COVID-19 yang memaksa kelab-kelab EPL beraksi di stadium kosong, khidmat Gunnersaurus mungkin tidak diperlukan lagi.

”Saya sangat sedih apabila mendapat tahu bahawa perkhidmatan Jerry Quy aka maskot popular kelab ini, Gunnersaurus tidak lagi diperlukan selepas 27 tahun setia bersama Arsenal.

”Oleh itu, saya menawarkan kepada Arsenal untuk membayar gaji penuh ‘kawan’ hijau kita selagi mana saya masih kekal menjadi pemain kelab ini supaya Jerry Quy boleh terus melakukan kerja yang dia cintai,” tulis Ozil di laman facebooknya.

Arsenal sebelum ini dilapor merancang untuk menamatkan perkhidmatan sekurang-kurangnya 55 orang staf sokongan dalam usahanya untuk memotong perbelanjaan di tengah-tengah ketidakpastian yang melanda dunia ketika ini.

Bagaimanapun kelab berkenaan berkata, penamatan perkhidmatan Gunnersaurus bukanlah secara kekal dan kelab tidak menolak kemungkinan untuk menggajikannya semula apabila situasi semasa pulih nanti.

Sumber: The Guardian

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.