Siakap Keli

PKPB Akan Dilaksanakan Di Seluruh Negeri Sabah, Berkuatkuasa 12 Tengah Malam Ini

Menerusi sidang media yang disampaikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan bahawa di seluruh negeri Sabah akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) mulai tengah malam ini. Perlaksaaan PKPB  ini akan bermula pada 12.01 tengah malam ini, hingga 26 Oktober 2020.

Hal ini melibatkan semua aktiviti sukan, pendidikan serta aktivit keagamaan dan sektor sosial di Sabah tidak dibenarkan beroperasi, jelasnya dalam sidang media tersebut.

Antara SOP yang ditetapkan oleh kerajaan adalah pergerakan keluar masuk/merentas daerah adalah tidak dibenarkan. Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan. Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah DITUTUP. Masjid dan surau serta rumah ibadat bukan Islam lain adalah DITUTUP. Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah TIDAK DIBENARKAN. Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga TIDAK DIBENARKAN. 

Kegiatan sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhui SOP ketat yang telah dan akan dikeluarkan oleh MKN.

  • Pasar Borang, Pasar harian (6.00 pagi – 2.00 petang).
  • Kedai barang keperluan dan kedai runcit (6.00 pagi – 6.00 petang)
  • Restoran, kedai-kedai makan, warung-warung, kedai runcit dan serbaneka dibenarkan (6.00 pagi – 6.00 petang). Bagaimanapun terhad untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta take away.
  • Operasi stesen minyak dibenarkan beroperasi (6.00 pagi – 6.00 petang)
  • Perkhidmatan teksi/ e-hailing dan penghantaran makanan juga dibenarkan (6.00 pagi – 8.00 malam).
  • Bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.
  • Farmasi dan kedai ubat-ubatan dibenarkan beroperasi seperti biasa (6.00 pagi hingga 6.00 petang).
  • Operasi klinik dan hospital kerajaan dibenarkan beroperasi 24 jam.
  • Sektor perikanan, perladangan, pertanian adalah dibenarkan.

Bagi sektor perniagaan dan perkilangan termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang ingin beroperasi boleh memohon daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

Bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilaksanakan di Felda Umas, Tawau berkuat kuasa pada hari ini, 12.01 tengah mala, 13 Oktober hingga 26 Oktober 2020.

PKPD ini akan melibatkan 800 buah rumah dengan seramai 17,549 penduduk di kawasan tersebut. Dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya:

  • Semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing.
  • Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
  • Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada PDRM.

KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat. Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh Kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.

Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat.

 

Sumber: Sidang Media MKN

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang