Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Bebas COVID-19

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal didapati bebas daripada jangkitan COVID-19.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood dalam satu kenyataan hari ini berkata, Nik Ezanee tidak perlu lagi melakukan kuarantin kendiri selepas Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) yang merupakan kontak rapat beliau, disahkan negatif wabak itu.

“Sebelum ini, beliau membuat pemantauan di asrama pekerja kelab golf Tropicana Golf & Country Resort (TGCR) yang diletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 12 Okt lepas (Isnin).

“Oleh itu, beliau terpaksa menjalani kuarantin kendiri, apabila mendapati pegawai perubatan itu mempunyai kontak rapat dengan pengurus keselamatan kelab golf berkenaan, yang positif COVID-19 pada hari yang sama,” katanya.

Susulan itu, Ku Mashariman berkata Nik Ezanee akan kembali bertugas seperti biasa berkuat kuasa serta merta.

Pada Isnin lepas, laman Facebook rasmi polis daerah Petaling Jaya memaklumkan Nik Ezanee menjalani kuarantin setelah mempunyai kontak rapat dengan seorang Pegawai Kesihatan Daerah yang positif COVID-19, dan pernah bertemu dalam beberapa mesyuarat serta perbincangan mengenai perancangan operasi bagi membendung pandemik itu.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story