Siakap Keli

Petronas Yamaha SRT Kuasai Sesi Latihan GP Aragon

KUALA LUMPUR, 17 Okt — Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli, kembali mempamerkan prestasi terbaik apabila kedua-duanya menamatkan hari pertama Grand Prix (GP) Aragon di tempat kedua dan ketiga masing-masing.

Quartararo yang terbabit dalam insiden di Turn 8 pada pusingan terakhir masih mampu menamatkan sesi ketiga sesi Latihan Bebas Pertama (FP1) pada Jumaat dengan catatan masa satu minit 50.142 saat.

Pelumba dari Perancis itu mengekalkan prestasinya sepanjang FP2 dan merekodkan masa pusingan terpantas peribadi  1:48.020 s yang meletakkan beliau di tempat kedua sesi dan keseluruhan.

“Hari yang agak sukar namun masih berjaya hasilkan keputusan yang baik. Kami terlibat dalam insiden yang ganjil semasa FP1, saya sendiri kurang pasti kenapa insiden itu berlaku namun FP2 hebat. Untuk Sabtu (hari ini), rasanya kami perlu gunakan tayar belakang yang lembut bagi beberapa pusingan. Saya rasa ini opsyen yang baik untuk perlumbaan kerana rentak bagus cuma kurang menyengat.

“Umumnya, perlumbaan hari ini (Jumaat) bagus. Cuma kena pastikan petang esok kami tidak kehilangan rentak,” kata Quartararo dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan.

Sekalipun sesi FP1 Morbidelli berakhir lebih awal selepas terlibat kemalangan di Turn 14 dengan masa latihan masih berbaki lebih lapan minit, pelumba Itali itu menamatkan latihan dengan catatan masa pusingan terpantas kedua pada 1:49.951 s.

Sesi FP2 menyaksikan  Morbidelli yang menunggang jentera Yamaha YZR-M1 menamatkan sesi ketiga dengan catatan 1:48.218 s.

“Kami memulakan hujung minggu dengan baik, malah kesemua jentera Yamaha mempamerkan prestasi cemerlang. Keadaan pada sebelah pagi agak sukar dengan suhu yang rendah selain gangguan angin, namun kami berjaya mengharunginya.

“Saya membuat kesilapan pada sebelah pagi. Tunggangan saya perlahan disebabkan bendera kuning, dan selepas itu saya memecut terlalu cepat menyebabkan saya terbabit dalam kemalangan,” katanya yang yakin mereka mampu meningkatkan prestasi untuk sesi seterusnya.

Sesi FP3 MotoGP dijadualkan bermula pada 10.25 pagi waktu tempatan (4.25 petang waktu Malaysia) hari ini manakala pusingan kelayakan dijadualkan pada 2.10 petang waktu tempatan (8.10 malam waktu Malaysia).

Sumber- BERNAMA

Faiz Mustafa