Siakap Keli

Perlaksanaan PKPD Penjara Di Zon Utara Dan Selangor Dilanjutkan Lagi Hingga 4 November 2020

Dalam sidang media perkembangan PKPP yang disampaikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan untuk seluruh penjara di zon Utara dan Selangor bermula 22 Oktober 2020 sehingga 4 November 2020.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut diambil susulan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mendengar pembentangan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung situasi penularan Covid-19 di penjara-penjara tersebut.

Katanya dalam sidang media, sebanyak sembilan penjara melibatkan di Zon Kedah dan Selangor. Sebanyak lima penjara iaitu Pusat Koreksional Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Penjara Tapah di zon Utara. Manakala untuk Selangor pula melibatkan empat penjara iaitu Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPD di kesemua penjara dan kuarters penjara ini adalah sama seperti SOP PKPD penjara yang telah dilaksanakan sebelum ini,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan semalam.

Antara SOP yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:
  • Pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan melibatkan kawasan ini termasuk lawatan oleh ahli keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.
  • Pergerakan staf penjara ditentukan berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
  • Tahanan yang akan dibebaskan semasa tempoh PKPD akan diasingkan daripada tahanan yang lain.

Sebelum ini, kerajaan telah melaksanakan PKPD di beberapa penjara dan pusat tahanan melibatkan Penjara Alor Setar, Penjara Pokok Sena, Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai.

 

 

Sumber: Sidang Media MKN ,Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang