Siakap Keli
Gambar: Rewire.News

Gadis Dakwa Dirogol Ketika Ditempatkan Di Hospital Kerana Masalah Pernafasan

Seorang wanita berusia 21 tahun yang telah dimasukkan ke sebuah hospital Gurugram, India pada 21 Oktober lalu akibat masalah pernafasan didakwa dirogol oleh seorang individu, lapor Gulf News.

Menurut Hindustantimes, gadis itu didakwa telah dirogol ketika dia berada berada dalam keadaan separuh sedar di Unit Kecemasan Rapi (ICU), kata polis pada Rabu.

Bapa mangsa telah melaporkan perkara tersebut kepada polis pada 27 Oktober ketika anaknya itu kembali sedar dan mendedahkan penderitaan kepada ayahnya.

Menurut Gulf News, wanita tersebut telah memberikan sepucuk surat dengan tiga halaman kepada ayahnya dan menuduh seorang lelaki.

Sama ada suspek adalah merupakan kakitangan hospital atau tidak masih belum diketahui.

Laporan awal berkaitan dengan kejadian tersebut telah didaftarkan di Balai Polis Sushant Lok pada Rabu.

Selepas menerima aduan tersebut, pihak polis telah bergegas ke hospital untuk mengambil keterangan wanita itu, namun doktor menyatakan bahawa wanita tersebut belum berada dalam keadaan yang baik untuk memberikan keterangan.

Timbalan Komisioner Polis (timur) Masqood Ahmad menyatakan bahawa perkara itu masih dalam siasatan. Rekod hospital serta rakaman CCTV sedang diteliti.

“Mangsa belum berada dalam keadaan yang baik untuk memberikan keterangan. Keterangan mangsa hanya akan diambil selepas mendapat kebenaran daripada doktor,” katanya.

“Kes sedang disiasat. Ibu bapa wanita itu juga tidak tahu sama ada suspek adalah kakitangan hospital atau tidak. Kami juga telah mengambil keterangan dari pihak pengurusan hospital mengenai kejadian tersebut. Situasi akan menjadi lebih jelas setelah wanita itu memberikan keterangannya. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” tambahnya.

Menurut polis, mangsa adalah penduduk di daerah Mahendragarh dan sedang menderita penyakit tuberkulosis. Kerana masalah pernafasan, dia ditempatkan di wad yang menggunakan alat ventilator.

Bapa mangsa mendesak pihak polis untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

Sumber: Gulf News, Hindustantimes

Aqmal Ezany

I write what is right