Gambar: Bernama

JAS Buka Kertas Siasatan, Tahan Operasi Kilang Makanan

KUALA LUMPUR, 30 Okt — Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah membuka kertas siasatan dan mengeluarkan perintah tahan operasi kepada sebuah kilang berasaskan makanan yang disyaki menyebabkan pencemaran minyak di Sungai Balak, Selangor.

Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar berkata tindakan diambil susulan siasatan di kilang itu mendapati terdapat pelepasan air berwarna putih sedang berlaku melalui saluran paip bawah tanah dan menuju ke Sungai Balak.

Katanya siasatan juga mendapati efluen mentah dan lelehan minyak hitam juga mengalir memasuki longkang kilang dan seterusnya memasuki satu saluran paip bawah tanah yang mengalir ke Sungai Balak.

“(Susulan itu) JAS Selangor telah menjalankan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) yang mana operasi pengeluaran kilang diberhentikan serta merta sehingga tindakan pembaikan diambil oleh pihak kilang.

“Pihak kilang juga diarahkan untuk melakukan kerja-kerja penutupan saluran haram ke Sungai Balak dan menjalankan kerja-kerja pembersihan sungai yang telah tercemar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Norlin berkata Perintah Larangan (PL) di bawah Peraturan 30, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar juga dikeluarkan bagi melarang pengendalian proses perindustrian untuk satu tempoh sehingga langkah-langkah pemulihan sepertimana diarahkan itu dipatuhi.

“Selain itu, kertas siasatan juga telah dibuka untuk pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974,” katanya.

“Tiga sampel telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM), dengan keputusan analisis kimia dijangka diperolehi dalam masa terdekat.

“Saya memberi amaran keras kepada pihak industri supaya bertanggungjawab menguruskan sisa efluen mengikut undang-undang yang telah ditetapkan demi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Rabu lepas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat dilaporkan berkata polis menerima satu laporan berhubung pencemaran air di alur sungai di di Jalan KB1/9, Kampung Baru Balakong, Seri Kembangan daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Tindakan pantas LUAS itu berjaya menghalang sisa minyak hitam daripada terus mengalir ke Sungai Balak dan seterusnya ke Sungai Langat, yang menjadi sumber air mentah Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2, LRA Labohan Dagang dan LRA Bukit Tampoi.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Editor: Aqmal Ezany

Tambah komen