Siakap Keli

Rentas Mukim, Daerah & Negeri Untuk Sambutan Deepavali Untuk Kawasan PKPB & PKPD Tidak Dibenarkan – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 5 Nov – Pergerakan merentas mukim, daerah dan negeri tujuan menyambut perayaan Deepavali termasuk balik kampung adalah tidak dibenarkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan itu melibatkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), PKP Diperketatkan (PKPD) atau dari luar kawasan tersebut.

Sehubungan itu, beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah ditetapkan, antaranya penganut Hindu hanya dibenarkan mengikuti sesi upacara sembahyang pada hari pertama sahaja di kawasan-kawasan terlibat.

“Di rumah ibadat iaitu kuil, SOP nya (adalah) menyediakan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan dan saringan gejala COVID-19.

“Kehadiran mesti menggunakan aplikasi MySejahtera atau direkodkan.

“Penganut yang menghidap penyakit kronik, warga emas dan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun tidak digalakkan hadir,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP Pemulihan hari ini.

Dalam pada itu, upacara sembahyang yang dijalankan perlu mematuhi SOP pembukaan rumah ibadat dan tidak boleh melebihi 30 orang pada satu-satu masa, selain turut bergantung pada keluasan kuil.

“Sesi upacara sembahyang perlu diadakan bermula dari jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari dengan pembahagian masa sebanyak lima (5) sesi untuk sembahyang,

“Manakala antara setiap sesi sembahyang dan yang seterusnya ada 30 minit untuk sanitasi,” tambahnya lagi.

Jelasnya, manisan juga dibenar untuk diagihkan selepas selesai upacara sembahyang, namun secara berbungkus sahaja.

Selain itu, bagi kediaman atas tanah (lot) dalam kawasan PKP Bersyarat (PKPB), jemputan tetamu adalah dibenarkan dan tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa.

Dalam masa sama, bagi kediaman atas tanah dalam kawasan PKP Diperketatkan (PKPD) pula, jemputan tetamu adalah tidak dibenarkan langsung.

“Manakala bagi rumah kediaman strata (bertingkat) dengan keluasan yang kurang daripada 1,500 kaki persegi, (jemputan) tidak boleh melebihi 10 orang.

“Dan keluasan 1,500 kaki persegi ke atas, tidak boleh melebihi 15 orang dalam satu-satu masa,” katanya lagi.

Kenyataan tersebut boleh dirujuk pada durasi ke 6:05.

Sumber: RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'