Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

(Video) Pelumba Basikal ‘Menderita’, Ribuan Duri Kaktus ‘Melekat’ Pada Badan, Dipercayai Akibat Terbabas Rempuh Semak

Seorang penunggang basikal amatur telah dikejarkan ke hospital bagi mengeluarkan ribuan duri yang tercucuk pada badannya selepas terjatuh ke dalam semak yang dipenuhi pokok kaktus dalam satu perlumbaan yang berlangsung di Argentina.

Penunggang basikal tersebut, Diego Moreno, yang dilaporkan terlanggar sebuah lubang ketika sedang mengekori rapat satu kumpulan pelumba di kawasan City Park di Buenos Aires.

Penduduk setempat yang hadir memberi sokongan turut tampil menghulurkan bantuan awal sejurus selepas kemalangan itu berlaku.

Mereka yang memberikan bantuan itu cuba untuk mengeluarkan duri yang tercucuk pada badan Moreno terlebih dahulu, sejurus selepas itu dia terus digegaskan ke hospital bagi memeriksa kemungkinan terdapat sisa duri yang masih tertinggal pada badannya.

Moreno memberitahu media tempatan: “Kami mengayuh bersama dengan tiga lagi penunggang basikal, saya yang terakhir dalam barisan.

“Saya tak perasan terdapat satu lubang kecil di jalan itu dan saya pun telah melanggarnya.

“Syukur kerana saya pakai cermin mata serta topi keledar dan saya tidak mengalami sebarang kecederaan di muka mahu pun di kepala.

“Melihat keadaan duri tersebut tercucuk pada saya, ianya mungkin boleh membuatkan saya buta.”

Sebuah video yang menunjukkan Moreno muncul dari semak dengan duri pokok kaktus yang tercucuk di seluruh tubuhnya telah menjadi tular di media sosial.

Dalam video berkenaan dapat dilihat penduduk tempatan cuba mengeluarkan duri dari tangan Moreno sambil dipenuhi dengan duri pada bahagian badannya yang lain.

Penonton yang melihat video tersebut dengan pantasnya terus mengulas video terbabit, dengan salah seorang pengguna YouTube bergurau: “Tahun 2020 secara kesimpulan”.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right