Siakap Keli

(Video) “Tengok Mata Dia” Oyen Lumpuh ‘Terharu’ Dijaga Dengan Baik, Siap Bubuh Bedak Sebelum Dipakaikan “Pampers”

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Menjaga haiwan yang sakit memerlukan perhatian yang penuh agar keselamatan dan kesihatannya terjamin, apatah lagi jika mengalami masalah lumpuh.

Seperti kucing misalnya, ada saja tuan yang sanggup menghabiskan wang berpuluh ringgit semata-mata untuk kos perubatan agar kucingnya sihat seperti sediakala.

Baru-baru ini, Siti Nur Hidayah ada berkongsi satu rakaman video dia memakaikan lampin pakai buang untuk kucingnya yang bernama Oyen.

Jika dilihati betul-betul video ini, boleh dikatakan mata si Oyen sentiasa memandang tepat ke arah Puan Hidayah sepanjang dia dikemaskan.

Seolah-olah tersimpan 1001 luahan yang terbungkam dalam hati dan tidak mampu dilafaz – betapa terima kasihnya dia pada tuannya itu atas kasih sayang yang diberikan sepenuh hati.

Detik pertemuan dengan Oyen

Jelas Puan Hidayah, dia ditakdirkan bertemu dengan Oyen ketika awal bulan lalu di sebuah kedai makan dalam keadaan yang menyedihkan.

“Saya dengar suara kucing terjerit-jerit. Saya pun cari-cari rupanya di bawah sinki tempat cuci tangan. Lepas tu saya tanya dengan akak gerai tu, ‘kenapa dengan kucing ni?’

“Akak tu kata, tak tahu dari semalam dia kat situ tak boleh jalan. Saya pun call suami kata saya jumpa kucing lumpuh kat gerai bawah rumah ni, boleh ke saya ambil bawa balik. Mujur suami saya izinkan,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli, baru-baru ini.

Pada waktu itu, Puan Hidayah meluahkan pada suaminya bahawa dia betul-betul berasa kasihan dengan kucing itu.

Mana tidaknya, penat sudah Si Oyen tu menjerit-jerit bersendirian, dalam masa sama tiada seorang pun yang sudi menjenguknya, apatah lagi bertindak.

“Kalau nak diikutkan suami saya tak bagi kutip kucing masa tu, sebab saya tengah dalam rawatan chemotherapy.

“Tapi saya kesian tengok mata Oyen tu sebab dia berharap sangat ada orang tolong,” luahnya, bernada emosi.

Difahamkan pada waktu itu, Oyen berada dalam keadaan yang sangat tidak stabil kesihatannya.

Selain lumpuh di kedua-dua kaki belakangnya, punggungnya juga didakwa kotor dan dijangkiti kuman.

Kencing berdarah, kecederaan dalam badan

Oyen dibawa ke sebuah klinik veterinar di Batu Caves bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut doktor, Oyen mengalami kecederaan di dalam badan kerana pada waktu itu, air kencingnya bercampur darah pekat.

“Doktor kata dia patah (tulang) dari paras pinggang ke bawah. Saraf dia pun tak berfungsi. Jadi kalau buat pembedahan pun tak guna,” jelasnya.

Pada waktu itu, Puan Hidayah diberi dua pilihan untuk nasib si Oyen tersebut.

Agak menyentuh hati, kedua-dua pilihan itu akan memberi gambaran masa depan yang belum tentu untuk Oyen, melainkan jika dihadapi dengan hati yang penuh tekad.

“Jadi doktor bagi saya pilihan; kalau boleh jaga dia sebab kucing lumpuh ni kencing berak dia kita kena tekan, kalau tak boleh jaga boleh matikan saja dia (suntik mati/pts).

“Takpa doktor, saya boleh jaga. Lagipun saya suri rumah je. Bolehlah saya jaga dia,” jawabnya penuh tekad di hati.

Maka doktor pun bersetuju untuk ‘memulangkan’ semula Oyen ke pangkuan Puan Hidayah.

Maka bermula dari itu, kehidupan Oyen yang dulunya derita kini sedikit-sedikit sudah bertukar ceria.

Keadaan kesihatannya juga agak bertambah baik walaupun terpaksa menerima hakikat bahawa dia lumpuh untuk selama-lamanya.

“Itu yang saya jaga Oyen sampai sekarang. Alhamdulillah..banyak kemajuan.

“Daripada tak boleh duduk tak boleh kencing berak sendiri, sekarang semua dia boleh (sendiri) dah,” jelasnya lagi.

Kredit gambar: Puan Siti Nur Hidayah

Kelihatan dalam gambar di atas, keluarga besar Si Bulus yang dibela dalam jagaan Puan Hidayah di rumahnya.

Boleh nampak Oyen turut makan bersama-sama dengan ahli keluarganya yang lain.

Kredit gambar: Puan Siti Nur Hidayah

Mesti dalam hati Oyen, dia nak saja ucap terima kasih dan syukur banyak-banyak sebab kerana kesudian Puan Hidayah, dia kini menjalani kehidupan yang lebih baik.

Lihatlah saja matanya ketika dia dimandikan, dikemaskan dan dipakaikan lampin dalam video tadi, kita boleh tahu itu pandangan yang penuh rasa terharu kepada tuannya.

Terima kasih Puan Hidayah kerana menyelamatkan nyawa Oyen. Semoga dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik daripada-Nya. Ameen.

Sumber: Siti Nur Hidayah

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'