Siakap Keli
Gambar Via Bernama

TERKINI COVID-19: Tiga Kluster Baharu Dikenalpasti Hari Ini, Libatkan Negeri Johor Dan Sabah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan, memaklumkan bahawa terdapat tiga kluster baharu dikenal pasti pada hari ini iaitu Kluster Plaza, Kluster Jalan Kalabakan dan Kluster Jeri.

Berikut merupakan perincian bagi kesemua kluster tersebut.

KLUSTER PLAZA

Kluster baharu ini melibatkan daerah Kota Kinabalu di negeri Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-42299) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 11 November 2020 dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, Institut Kemahiran MARA, Kota Kinabalu. Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 11 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 15 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 19 individu telah disaring, di mana:

12 kes dikesan positif COVID-19 (11 kes baharu); dan
Tujuh (7) individu dikesan negatif.

KLUSTER JALAN KALABAKAN

Kluster baharu ini melibatkan daerah Tawau di negeri Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-31309) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 31 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau. Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 21 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 15 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 22 individu telah disaring, di mana kesemua 22 kes telah dikesan positif COVID-19 (3 kes baharu).

KLUSTER JERI

Kluster baharu ini melibatkan daerah Kota Tinggi, Mersing, dan Muar di negeri Johor. Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), Singapura pada 6 November 2020. Saringan kontak rapat di Malaysia telah mengesan sebanyak 26 kes positif COVID-19 dan kes-kes ini telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.

Sehingga 15 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 1,170 individu telah disaring, di mana:

26 kes dikesan positif COVID-19 (3 kes baharu); dan
535 individu dikesan negatif; dan
609 individu masih menunggu keputusan.

Sumber: KP Kesihatan

Sofea

There's always another side to every story