Siakap Keli

(Video) Ditonton Lebih 2 Juta Kali, Rakaman “Timelapse” Pergerakan Setiap Saat Pokok Dalam Sehari Jadi Viral

Kita semua tahu kan, tumbuh-tumbuhan ini sebenarnya hidup dan bergerak macam hidupan lain juga, cuma mungkin kita tidak nampak sebab pergerakannya perlahan.

Kalau siapa yang pernah main game Plants VS Zombie, pasti tahu bagaimana pokok-pokok ini ‘bergerak’ (sekadar animasi).

Nak tahu tak, baru-baru ini akaun Twitter Plantporn ada merakam pergerakan sejumlah pokok menggunakan mod ‘pusingan masa’ (time lapse) dalam tempoh 24 jam.

Rakaman itu dibuat dari awal pagi hari ini sehinggalah ke awal pagi keesokan hari dan menariknya, pokok-pokok ini seolah-olah bergerak macam makhluk hidup yang lain. Nampak comel.

Sementara itu, ada juga netizen lain turut berkongsi rakaman pokok-pokok mereka yang turut bergerak sama seperti rakaman tadi.

Bolehkah pokok bergerak?

Sebenarnya, tumbuhan memang boleh bergerak sama seperti hidupan lain. Pergerakan yang terjadi melibatkan beberapa proses seperti tumbesaran, menangkap cahaya dan memerlukan sesuatu untuk dimakan.

Merujuk Gardening Know How, salah satu kaedah untuk tumbuhan bergerak ialah melalui proses yang dikenali sebagai phototropism.

Kebiasaannya, tumbuhan akan bergerak dan membesar mengikut cahaya (matahari). Pergerakan tumbuhan juga boleh dipengaruhi oleh tindak balas rangsangan lain seperti sentuhan, cecair dan suhu.

Sesetengah tumbuhan akan menutup kelopak bunganya ketika waktu malam dan akan membukanya kembali pada pagi keesokan hari – sambil menerima cahaya matahari yang menyinari.

Selain itu, tumbuhan juga mempunyai deria untuk mengesan sebarang cahaya dan graviti.

Ini dapat dibuktikan sekiranya kita meletakkan beberapa biji benih di permukaan tanah, dalam masa beberapa jam, pucuknya akan mula menumbuh ke atas mengikut arah cahaya dan akarnya mengesan graviti untuk menumbuh ke arah bawah (tanah).

Bagaimana phototrapism berlaku?

Sementara itu, proses phototrapism (pembesaran melalui cahaya) berlaku apabila pucuk tumbuhan tersebut mengandungi pigmen yang sensitif terhadap cahaya, terutamanya cahaya biru (blue light).

Pucuk tumbuhan akan menyerap cahaya yang ‘datang kepadanya’ melalui pigmen (phototropin) dan akan melepaskan hormon Auxin yang membuatkan sel bertumbuh dan membesar.

Arah dari mana cahaya itu datang akan mempengaruhi tindak balas hormon. Jika cahaya datang dari arah kanan, hormon akan dihantar ke sebelah kiri pucuk (yang terlindung).

Ini akan membuatkan sel-sel di bahagian yang terlindung turut tumbuh lebih lama.

Rajah di bawah menunjukkan tindak balas pucuk yang bergerak (membesar) mengikut arah cahaya, di mana hormon Auxin akan turut bergerak ke bahagian yang terlindung daripada cahaya.

Kredit: ABC Science

Sumber: Twitter Plants, Gardening Know How, Plantcell, ABC Science

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'