Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gol Saat Akhir Martinelli Hantar Brazil Ke Pusingan 16 Terbaik

martinelli
Kredit: @MUFCScoop/ X

Gol Saat Akhir Martinelli Hantar Brazil Ke Pusingan 16 Terbaik

Brazil mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia selepas menewaskan Japan 2-1 dalam aksi penuh dramatik yang ditentukan pada masa kecederaan, lapor World of Sports.

Jaringan kemenangan hadir menerusi Gabriel Martinelli pada minit ke-94 selepas pemain gantian Jepun, Ao Tanaka melakukan kesilapan mudah di kawasan sendiri yang membuka ruang buat Brazil menghukum lawan.

Kekalahan itu sekali gus menamatkan kempen Jepun dalam kejohanan berkenaan, meskipun skuad Samurai Biru memberi tentangan sengit sepanjang perlawanan.

Brazil dilihat bergelut untuk menembusi benteng pertahanan Jepun sebelum Martinelli akhirnya memecah kebuntuan di penghujung aksi hasil situasi bola yang dirampas di kawasan pertahanan lawan.

Menurut laporan, Ao Tanaka yang baru dimasukkan pada minit ke-78 gagal mengeluarkan bola dengan kemas ketika cuba meredakan tekanan, sebelum kehilangan penguasaan pada saat genting.

Kesilapan itu terus dimanfaatkan Brazil apabila Martinelli pantas menyempurnakan peluang untuk meledak gol kemenangan.

Meskipun kesilapan Tanaka menjadi punca penyingkiran Jepun, aksi penuh semangat kesukanan ditunjukkan penyerang Brazil, Matheus Cunha yang dilihat memeluk pemain tengah itu sejurus wisel penamat dibunyikan.

Tindakan Cunha itu meraih perhatian ramai apabila cuba menenangkan Tanaka yang jelas kecewa dan tidak dapat menahan kesedihan selepas kesilapan tersebut.

Jepun menamatkan kempen Piala Dunia kali ini dengan penuh kekecewaan selepas menunjukkan prestasi baik sepanjang kejohanan, namun terpaksa akur tersingkir akibat satu kesilapan di saat akhir.

Sementara itu, Brazil mara ke pusingan seterusnya dengan membawa status sebagai antara pasukan pilihan, namun perlawanan itu turut memperlihatkan masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi kalah mati.