Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Belanjawan 2021: Moratorium Bagi PKS & Pelbagai Insentif Khas Usahawan Kecil Wajib Tahu

Umum sedia maklum, Malaysia seperti negara-negara lain ketika ini sedang berdepan dengan ujian getir apabila dilanda pandemik COVID-19. Suasana yang tidak menentu ini menyaksikan sektor ekonomi negara terjejas dimana kesannya bukan sahaja kepada hasil kerajaan, malah kepada pendapatan penduduk Malaysia secara langsung.

Bertepatan dengan Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Yang Berhormat Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 6 November lepas, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 322.54 bilion untuk merangsang ekonomi negara dimana sebahagian besar peruntukkan disusun untuk memelihara kebajikan rakyat.

Rakyat seharusnya boleh menarik nafas lega apabila pelbagai bantuan diumumkan oleh Menteri Kewangan. Pemain industri kecil dan sederhana (PKS) antara yang banyak menerima manfaat daripada pembentangan bajet kali ini.

Melalui Strategi 2: Memelihara Golongan Rentan dibawah Langkah 2: Meringankan Beban Rakyat, bank-bank akan menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada perusahaan mikro yang memiliki hutang kurang RM 150,000 melalui dua opsyen iaitu:

Opsyen 1: Menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan.

Opsyen 2: Pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama 6 bulan.

Lebih memudahkan, pengusaha-pengusaha yang layak hanya perlu menghubungi pihak bank untuk memilih salah satu opsyen yang ditawarkan dan melengkapkan dokumen-dokumen yang dikehendaki.

Selain itu, melalui Strategi 4: Mengutamakan Agenda Keterangkuman, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 4.6 bilion bagi memperkasakan usahawan Bumiputera.

Pecahan-pecahan adalah seperti berikut:

Pertama: RM 510 juta untuk tujuan pembiayaan kepada PKS dan PKS mikro Bumiputera melalui TEKUN dan PUNB.

Kedua: RM 800 juta disediakan untuk program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan dan SME Bank.

Ketiga: RM 2 bilion disalurkan bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan atau SJPP.

Keempat: RM 1.4 bilion khas untuk tujuan pelaksanaan pelbagai program peningkatan kapasiti seperti pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta untuk program-program yang dikhaskan kepada Bumiputera.

Tak terhenti disitu, bantuan untuk PKS terus diperluas melalui Matlamat Kedua: Kelangsungan Perniagaan dibawah Strategi 1: Memacu Pelaburan.

Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan dana sebanyak RM 2 bilion untuk program Bantuan dan Pemulihan Bersasar yang akan diperkenalkan melalui pinjaman daripada institusi perbankan bagi membantu PKS yang terjejas dengan pandemik.

Kerajaan juga turut menyediakan dana sebanyak RM 150 juta Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro untuk menyediakan program latihan dan bantuan jualan serta peralatan kepada 100,000 PKS bagi beralih kepada perkhidmatan digital.

Selain itu, dibawah Strategi 3: Mengutama Automasi dan Pendigitalan, sebanyak RM 150 juta lagi diperuntukkan untuk kebaikan PKS.

Dana sebesar ini di bawah Skim Geran Pendigitalan SME dan Geran Automasi bertujuan untuk menyokong aktiviti automasi dan modenisasi. Apa yang menarik, syarat kelayakan untuk memohon geran ini turut dilonggarkan kepada PKS mikro dan syarikat pemula yang telah beroperasi selama 6 bulan.

Bantuan untuk PKS terus dilanjutkan melalui Strategi 4: Memudah Akses Pembiayaan dibawah Langkah 1: Pembiayaan Kredit Mikro.

Disini, sebanyak RM 300 juta diperuntukkan dibawah Skim Lestari Bumi, bertujuan untuk memacu perniagaan berstatus mikro milik Bumiputera bagi melangkah ke arah kategori perniagaan lebih tinggi. Kemudahan pembiayaan ini disediakan oleh SME Bank.

Untuk memudahkan lagi aktiviti perniagaan PKS, kerajaan turut memperkenal Platform Pembayaran Digital Rantaian Bekalan Nasional yang diberi nama JanaNiaga. Platform JanaNiaga ini bertujuan untuk membantu kewangan PKS yang terlibat membekalkan perkhidmatan atau produk kepada kerajaan atau GLC.

Bagi JanaNiaga ini, dana sebanyak RM 300 juta disediakan dimana ia dijangka dapat membantu PKS yang mengalami masalah aliran tunai yang berpunca daripada pembayaran invois yang terlalu lama. Ia juga dapat membantu PKS yang terjejas untuk mendapatkan bantuan pinjaman daripada institusi-institusi kewangan.

JanaNiaga akan diuruskan oleh EXIM Bank dengan penglibatan beberapa institusi kewangan yang lain.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan pembiayaan secara peer-to-peer yang diletakkan dibawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti.

Untuk tujuan ini, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM 50 juta secara geran padanan yang mana ia untuk menyokong platform P2P yang berasaskan pembiayaan invois.

Sabah sebagai antara negeri yang terjejas teruk dengan pandemik COVID-19 tidak dilupakan dalam bajet kali ini.

Dibawah Strategi 2: Memperkukuh Sektor-sektor Tumpuan, kerajaan menyediakan Geran Khas Prihatin Tambahan untuk Sabah.

Geran Khas Prihatin Tambahan untuk Sabah ini bernilai RM 1000 yang bakal dinikmati oleh peniaga dan penjaja, pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong di sana.

Peruntukkan khas untuk usahawan kaum India juga tidak dilupakan oleh kerajaan. Disini, TEKUN memperuntukkan dana sebanyak RM 20 juta khusus untuk Program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) serta RM 5 juta untuk pembangunan usahawan komuniti lain.

Disini, dapat disimpulkan bahawa kerajaan tetap komited untuk menyokong PKS yang boleh dilihat melalui pelaksanaan PRIHATIN dan PENJANA, Geran Khas Prihatin dan lain-lain lagi.

Contohnya, melalui PRIHATIN, sebanyak RM 4 bilion diperuntukkan oleh kerajaan bagi melaksanakan projek-projek dibawah kontraktor kelas G1 dan G2.

Manakala melalui Belanjawan 2021 pula, kerajaan turut menyediakan dana sebanyak RM 2.5 bilion untuk tujuan yang sama. Peruntukan-peruntukan yang besar ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 54,000 kontraktor kelas G1 serta 24,000 kontraktor kelas G2 di seluruh negara.

Buat semua usahawan PKS diluar sana, dana sudah disediakan untuk anda dan semua ini bukan sekadar angka di atas kertas. Ia lebih daripada itu.

Angka ratusan juta dan bilion ini semata-mata untuk membantu PKS terus berdaya saing mendepani cabaran ekonomi yang getir ketika ini.

Ayuh, rebut segera peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan ini.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.