Siakap Keli
Gambar Via Bernama

COVID-19: Kluster Tapak Bina Puteh Lama Muncul Di KL Antara 4 Kluster Baru Hari Ini

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat sebanyak empat kluster telah dikenalpasti pada hari ini.

Berikut merupakan perincian bagi kluster-kluster tersebut.

KLUSTER JALAN TUARAN

Kluster ini melibatkan daerah Kota Kinabalu, Penampang, dan Tuaran di negeri Sabah. Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada 27 November 2020 hasil saringan di tempat kerja. Sehingga 27 November 2020, sejumlah 86 individu telah disaring, di mana 43 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER JALAN HARUAN

Kluster ini melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan. Kes-kes awal dalam kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 pada 26 November 2020 hasil saringan pekerja-pekerja di sebuah kilang. Sehingga 27 November 2020, sejumlah 300 individu telah disaring, di mana 118 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. Ini melibatkan 10 kes warganegara dan 108 kes bukan warganegara.

KLUSTER TAPAK BINA PUTEH LAMA

Kluster ini melibatkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes-kes dalam kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 sejak 26 November 2020 melalui saringan bersasar ke atas pekerja-pekerja di sebuah tapak pembinaan. Sehingga 27 November 2020, sejumlah 820 individu telah disaring, di mana 139 kes telah dikesan positif COVID-19.

KLUSTER BERINGIN

Kluster ini melibatkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah di negeri Pulau Pinang. Kes-kes dalam kluster ini merupakan pekerja-pekerja di dua (2) buah kilang di Pulau Pinang. Kes indeks (iaitu kes ke-51576) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 19 November 2020 melalui saringan individu bergejala. Sehingga 27 November 2020, sejumlah 3,116 individu telah disaring, di mana 37 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Sofea

There's always another side to every story