Siakap Keli

(Video) Rasmi, Ini Jersi Baru Skuad Kebangsaan Dengan Warna Tradisi Harimau Malaya

PETALING JAYA, 4 Dis – Tampil dengan wajah lebih garang, pasukan bola sepak kebangsaan Harimau Malaya secara rasminya melancarkan jersi terbaharunya bagi sesi 2020-2022 hari ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jersi ‘home’ kali ini kelihatan lebih ringkas dan kemas dengan berkolar, manakala jersi ‘away’ pula turut menampilkan kelainan apabila tiada lagi warna biru, putih atau merah seperti sebelum ini.

Menurutnya, penampilan skuad kebangsaan pada kali ini dipercayai pasti lebih garang kerana warna tradisi Harimau Malaya; hitam dan kuning digunakan bagi kedua-dua jenis jersi.

“Ini bermakna, dalam kesemua aksi pasukan kebangsaan nanti, semangat dan aura Harimau Malaya akan sentiasa bersama para pemain dan penyokong.

“Saya yakin apabila para pemain memakainya nanti, mereka akan mendapat semangat baharu untuk tampil dengan aksi yang lebih bertenaga di atas padang, seterusnya meraih lebih banyak kemenangan dan kejayaan buat pasukan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

“Terima kasih juga kepada Nike yang masih terus bersama FAM dan Harimau Malaya sepanjang tempoh lebih 13 tahun ini (sejak 2007),” katanya dalam perasmian di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.

Pelancaran jersi baharu Harimau Malaya | Gambar: FAM

Sementara itu, Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia, Ernest Rodrigues berkata, penggunaan corak baharu pada kali ini ditambah baik dengan nilai kekemasan yang optimum, di samping turut dikombinasikan dengan elemen patriotik.

“Dengan mengekalkan logo FAM di bahagian sebelah kiri dada, warna kuning ikonik jersi ‘home’ ini dipadankan dengan kehadiran warna hitam pada tiga bahagian iaitu kolar, lengan dan garis corak terkini Nike di bahagian sisi bagi menampakkan lagi kekemasannya.

“Reka bentuk berjalur pada jersi ‘away’ ini diinspirasikan daripada Jalur Gemilang (bendera Malaysia), namun kelainan yang ditampilkan ialah ia hanya menggabungkan warna hitam dan kuning, tanpa kehadiran warna biru, putih atau merah.

“Jersi ‘away’ ini mencerminkan semangat muda dan budaya ekspresif pasukan kebangsaan sambil pada masa yang sama untuk memberikan penghormatan kepada Harimau Malaya yang kaya dengan tradisinya,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, kesemua tujuh jersi ‘home’ sejak sejak 2007, 2008, 2010, 2012, 2014, 2016 dan 2018 sejak Nike menaja jersi pasukan kebangsaan adalah tidak berkolar, manakala bagi tahun ini pula satu kelainan ditampilkan dengan jersi versi berkolar.

Jersi baharu Harimau Malaya 2020-2022 boleh didapati di cawangan Nike terpilih secara atas talian di pautan www.nike.com/my dan www.al-ikhsan.com bermula hari ini.

Manakala jualan secara fizikal di 24 cawangan Al-Ikhsan Sports dan semua cawangan Football Republic di seluruh negara pula akan bermula pada 11 Disember ini dengan jersi ‘home’ dan ‘away’ masing-masing dijual pada harga RM299.

Sumber: FAM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'