Siakap Keli
Kredit: Bernama

(Video) Aksi Bot Pemintas Maritim Pulau Pinang Kejar Bot Penyeludup, Berjaya Patahkan Cubaan Seludup Dadah Bernilai RM10 Juta

Putrajaya, 7 Disember – Maritim Pulau Pinang baru-baru ini telah berjaya menumpaskan penyeludupan dadah bernilai kira-kira RM10 juta pada 3 Disember lalu.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak bin Mohamed, rampasan melalui Op Pertiwi itu merupakan rampasan dadah terbesar mereka pada tahun ini.

“Kejayaan itu merupakan hasil koordinasi Unit Risik dan pasukan bot pemintas Maritim Negeri Pulau Pinang menerusi Op Pertiwi selama seminggu di sekitar perairan Teluk Kumbar sehingga ke kawasan perairan Gertak Sanggul berikutan terdapat maklumat yang menyatakan berlakunya aktiviti penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di kawasan tersebut,” katanya.

Menggunakan bot pemintas berkekuatan 1050 kuasa kuda, pihak maritim telah mengejar sebuah bot reakreasi yang mencurigakan pada 8.20 malam hari kejadian.

“Setelah diminta untuk berhenti, bot tersebut terus memecut laju dipercayai untuk meloloskan diri,” ujarnya.

Malah, dua individu didalamnya dilaporkan telah bertindak terjun ke dalam lautan selepas mencampak beg dipercayai berisi dadah untuk melarikan diri.

“Ketika anggota bot pemintas cuba untuk memberhentikan bot suspek, berlaku aksi kejar-mengejar selama 30 minit di mana suspek cuba melakukan pergerakan yang merbahaya.

“Terdapat dua individu yang dikesan berada di dalam bot berkenaan telah mencampakkan beberapa objek ke laut sebelum mereka turut sama terjun sementara bot yang dinaiki ditetapkan dalam keadaan terus memecut laju sebagai helah untuk tidak ditangkap.”

Tambah APMM, hasil pemeriksaan mendapati objek yang dicampak merupakan lapan buah beg pakaian yang mengandungi hablur kristal dipercayai methamphetamine serta pil ecstasy.

“Siasatan awal kami mendapati kesemua hablur kristal mempunyai berat anggaran 240 kilogram manakala pil Ecstasy anggaran berat 9.3 kilogram. Kesemua dadah yang dirampas ini dianggarkan bernilai RM10.53 juta. Turut dirampas adalah sebuah bot yang digunakan suspek bersama dua enjin sangkut dengan kekuatan 500 kuasa kuda bernilai anggaran RM150,000. Menjadikan anggaran jumlah nilai rampasan keseluruhan RM10.68 juta,” lapor APMM.

Menurutnya, kesemua rampasan merangkumi dadah, bot dan enjin telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang. Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tegas Abd Razak, mereka akan terus memperketat pengawasan dengan pelbagai operasi khusus untuk membanteras sebarang kegiatan jenayah maritim.

Jika anda mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan dadah, anda diminta tampil untuk membantu siasatan. Hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Berikut merupakan rakaman detik mendebarkan adegan kejar mengejar antara penguatkuasa dengan penjenayah berkenaan dikongsi agensi berita, Bernama.

Dia terjun! Dia terjun!

Sumber: APMM, Bernama

Amira

Love yourself.