Siakap Keli

Siri Viu Original Keluarga Baha Don Yang Memenangi Anugerah Kini Kembali Dengan Musim Kedua

PCCW (SEHK:0008) – KUALA LUMPUR, DISEMBER 3, 2020 – Viu, penyedia layanan penstriman video OTT terkemuka rantau ini yang dikendalikan oleh Viu International Limited, membawa kembali siri komedi mafia Malaysia yang pertama Keluarga Baha Don bagi musim kedua dengan kelainan yang pasti mengujakan! Siri Viu Original yang memenangi anugerah ini telah meraih sebilangan besar peminat apabila ia dilancarkan pada Julai 2019 dan telah terkenal dengan karakter pan-Malaysia dan komedi unik yang ditampilkan dalam setiap episod.

Dihasilkan oleh Anomalous Films, Keluarga Baha Don berkisah tentang sebuah keluarga unik dan pelik yang mempunyai bisnes kulinari dan jenayah terancang. Musim kedua siri ini bakal mengikuti kisah mereka yang tergantung dalam episod akhir musim pertama, dimana Jo (Remy Ishak) menyedari bahawa ayahnya, Baha Don (Othman Hafsham), mungkin masih hidup.

Sekuel yang dinanti-nantikan ini bakal melihat pelakon-pelakon yang membintangi siri asal ini termasuk Jihan Muse, Mark Adam, Khir Rahman, Susan Lankester, Sharifah Aleysha, Melissa Campbell dan ramai lagi melakonkan watak-watak asal mereka. Musim baharu ini bakal mengembangkan barisan pelakonnya dengan pelakon baharu seperti Tony Eusoff, Amy Mastura, Azman Hassan dan Marsha Milan.

Cik Sahana Kamath, Ketua Produksi Viu Original Malaysia dan Indonesia, berkata, “Sementara kami terpaksa menghentikan sebarang aktiviti penghasilan produksi seiring dengan industri, kami telah meluangkan masa dan tenaga dalam penghasilan skrip untuk menghasilkan siri-siri asal kami di masa akan datang. Viu menghargai nilai dan permintaan daripada rakyat Malaysia untuk pengeluaran asli yang lebih berkualiti tinggi dan dihasilkan secara tempatan. Oleh itu, hari ini, kami membawa kembali siri komedi Keluarga Baha Don, drama mafia pertama di Malaysia bagi musim kedua untuk sebuah lagi dos komedi buat peminat di Malaysia. Keluarga Baha Don bukan seperti siri komedi lain dan ianya contoh terbaik untuk kandungan asli yang berbeza dengan kandungan sedia ada yang dihasilkan Viu!”

Viu Malaysia terus mencabar batasan industri hiburan tempatan dengan memanfaatkan genre dan format baharu yang dilokalkan seterusnya memberi peluang kepada bakat tempatan dan pada masa yang sama mengetengahkan kemahiran mereka di pentas dunia. Viu melancarkan produksi yang dihasilkan sepenuhnya di Malaysia buat julung kalinya pada tahun 2018 dan telah mengeluarkan sembilan produksi Viu Original semenjak itu, dan meraih beberapa anugerah di peringkat tempatan dan peringkat Asia. Keluarga Baha Don telah memenangi Program Komedi Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2019. Jihan Muse juga telah membawa pulang Asian Academy Creative Award dalam kategori Persembahan Komedi Terbaik untuk lakonannya sebagai Kesuma dalam siri ini. Viu memenangi Penyesuaian Format TV Terbaik (Skrip) di Asia untuk Pretty Little Liars pada Content Asia Awards yang pertama. Lima siri Viu Original bersama-sama menerima 14 pencalonan. Tahun ini, Viu merangkul 33 anugerah di pusingan kebangsaan Asian Academy Creative Awards untuk rancangannya termasuk Pretty Little Liars, The Bridge, Black and Kopitiam: Double Shot.

Saksikan Keluarga Baha Don musim 2 hari ini di Viu! Muat turun aplikasi Viu secara percuma di App Store dan Google Play dan TV pintar terpilih, dan juga di laman sesawang www.viu.com.